Muntahkab Ahadis - Bab Ilmu

 

Hadis 041

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Sesungguhnya Allah saw membenci seorang yang keras hatinya, seorang yang banyak makan, seorang yang menjerit-jerit di pasar, seorang yang seumpama mayat di waktu malam(kerana banyaknya tidur), seumpama keldai di waktu siang(kerana sentiasa sibuk dengan kerja-kerja dunia), dan seorang yang berpengetahuan mengenai perkara dunia tetapi jahil mengenai perkara akhirat. (HR Ibn Hibban)

Hadis 042

Hadzrat Yazid Bin Salamah Al Ju'fi ra meriwayatkan bahawa aku bertanya kepada Nabi saw Wahai Rasulullah! Sesungguhnya saya telah banyak mendengar hadis daripada tuan dan saya takut lupa di awal dan ingat di akhirnya. Beritahulah kepada saya satu kalimah yang saya dapat mengingati semuanya. Rasulullah saw bersabda; Takutilah Allah swt pada apa yang kamu ketahui(beramallah dengan apa yang kamu ketahui). (HR Tirmizi)

Hadis 043

Dan Dari Jabir bin Abdullah ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Janganlah kamu mempelajari ilmu agama untuk memperlihatkan kehebatan ke atas ulama dan mempelajari ilmu untuk berhujah dengan orang-orang yang bodoh dan untuk menarik perhatian majlis. Barangsiapa berbuat demikian maka tempatnya ialah di dalam api neraka, api neraka. (HR Ibn Majah)

Keterangan:
Dilarang menuntut ilmu untuk menarik perhatian majlis ialah bermaksud melalui ilmunya itu menarik perhatian orang ramai ke atas dirinya sendiri.

Hadis 044

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Barangsiapa ditanya mengenai ilmu, tetapi dia menyembunyikannya sedangkan dia mengetahui akan diikat mulutnya dengan api pada hari Qiamat. (HR Abu Daud)

Hadis 045

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Perumpamaan seorang yang mempelajari ilmu agama kemudian tidak mengajarkan kepada orang lain adalah seperti seorang yang mengumpul harta yang banyak di dalam khazanahnya tetapi tidak membelanjakannya. (HR Tabrani)

Hadis 046

Dari Zaid bin Arqam ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw (pernah berdoa dengan)bersabda; Wahai Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadamu dari ilmu yang tidak bermanfaat dan dari hati yang tidak rasa takut dan daripada hawa nafsu yang tidak pernah merasai kenyang dan daripada doa yang tidak dikabulkan. (HR Muslim)

Hadis 047

Dari Abi Barzah Al-Aslami ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Tidak akan terlepas kedua belah kaki seorang hamba pada hari Kiamat(dari tempat penghisaban) sehingga ditanya mengenai beberapa perkara ini: Mengenai umur dimanakah kamu membelanjakan? Ilmu yang diperolehi adakah kamu amalkan? Harta daripada mana kamu perolehi dan di mana kamu belanjakan? Kekuatan anggota jasmani kemana kamu belanjakan? (HR Tirmizi)

Hadis 048

Dari Jundab bin Abdullah Azdi ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Perumpamaan bagi orang yang mengajar kebaikan kepada orang lain tetapi melupai akan dirinya sendiri(dia sendiri tidak beramal) adalah seumpama seorang yang memasang lampu atau lilin yang menerangi manusia lain tetapi membakar dirinya sendiri. (HR Tabrani, At Targhib)

Hadis 049

Dari Abdullah bin Umar ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Banyak orang memiliki ilmu pengetahuan tidak faham dengannya. (Kefahaman dan hikmah dalam ilmu yang sepatutnya dimiliki tidak ada padanya). Barangsiapa yang mempunyai ilmu yang tidak memberi menafaat kepada dirinya akan disusahkan oleh kejahilannya. Sesungguhnya kamu akan digolongkan di kalangan orang yang membaca Al-Quran selagi mana ia dapat mencegah kamu(daripada dosa dan kejahatan). Dan jikalau Al-Quran tidak dapat menegah kamu, maka kamu bukan di kalangan orang yang membaca Al-Quran. (HR Tabrani, Majmauz Zawaid)

Hadis 050

Dari Abdullah ibn Abbas ra menceritakan bahawa pada satu malam Baginda Rasulullah saw berdiri di Makkah dan mengatakan sebanyak tiga kali: Wahai Allah! Tidakkah aku telah menyampaikan risalahmu? Umar ra yang banyak menangis bangun bersuara: Benar wahai Allah! (Aku bersaksi bahawa engkau telah menyampaikan segala risalah Allah swt)Engkau telah menyemarakkan Islam di hati manusia, Engkau telah banyak berusaha dan menasihati kami. Baginda saw bersabda; Iman pastinya akan sentiasa menang sehingga kekufuran akan kembali ke tempat asalnya dan yakinlah bahawa kamu akan menyebarkan Islam sehingga kamu akan menyeberangi lautan dan manusia akan sampai kesatu zaman dimana mereka mempelajari Al-Quran dan membacanya dan berkata kami telah belajar dan kami telah faham. Sekarang siapakah yang lebih baik daripada kami? (Nabi saw)bersabda; Apakah akan ada kebaikan yang sebenarnya pada mereka?(Sedikit pun tidak ada kebaikan untuk mereka). Para sahabat r.hum bertanya; Ya Rasulullah! Siapakah mereka itu? Baginda saw menjawab; Mereka ialah daripada golonganmu di kalangan umat ini. Dan merekalah yang akan menjadi bahan bakar api neraka.(HR Tabrani)

Hadis 051

Hadzrat Anas ra meriwayatkan bahawa kami sedang duduk di pintu rumah Rasulullah saw. Kami bermuzakarah di antara satu sama lain sehingga kami bertelagah di antara kami tentang sesuatu ayat dengan ayat yang lain(masing-masing cuba menegakkan hujahnya untuk mengguatkan pendapatnya). Maka Rasulullah saw keluar dari rumahnya lalu menemui kami dengan wajah yang merah padam(kerana marah) seolah-olah seperti perahan buah delima yang tersimbah di muka Baginda saw. Lantas Baginda saw bersabda; Wahai kamu sekelian! Kerana inikah kamu dihantar ke muka bumi, atau kerana ini kamu diperintahkan? Janganlah kamu kembali kepada kekufuran (kafir) kerana selepas peninggalanku akan berlaku pertengkaran sehingga mereka memenggal leher di antara satu sama lain. (Ingatlah! Sesungguhnya perbuatan ini akan menyampaikan kamu kepada kekufuran). (HR Tabrani, Majmauz Zawaiid)

Hadis 052

Hadzrat Abdullah Bin Abbas ra meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda; Bahawa Isa Bin Maryam as berkata; Sesungguhnya semua urusan itu terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama ialah sesuatu perkara yang hak dan jelas kebenarannya maka ikutilah ia. Kedua sesuatu perkara yang jelas keburukan dan malapetakanya maka jauhilah ia dan ketiga suatu perkara yang belum diketahui kebaikan dan keburukannya maka hendaklah dirujuk masalahnya kepada seorang alim. (HR Tabrani)

Hadis 053

Hadzrat Ibnu Abbas ra meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda; Berhati-hatilah dalam meriwayatkan hadis daripadaku melainkan kamu benar-benar mengetahuinya(ia berasal daripadaku). Barangsiapa mendustakan daku dengan sengaja, maka dia telah menempatkan dirinya ke dalam neraka. Dan barang siapa mentafsirkan Al-Quran mengikut pandangannya sendiri maka dia telah menempatkan dirinya ke dalam neraka". (HR Tirmizi)

Hadis 054

Dari Jundab ra meriwatyatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Barangsiapa mentafsirkan Al-Quran mengikut pandangan atau pemikirannya sendiri walaupun betul ia tetap salah. (HR Abu Daud)

Keterangan:
Maksud daripada hadis ini ialah barangsiapa mentafsirkan Al-Quran mengikut pandangan dan pemikirannya sendiri walaupun secara kebetulan tafsirannya betul ia tetap salah kerana penafsirannya tidak dirujuk kepada hadis nabi dan tidak dirujuk kepada alim ulama.

Hadis 055

Hadzrat Abdullah Bin Mas'ud ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda kepadaku; Bacalah untukku! Lantas aku berkata; Bagaimana saya akan bacakan kepada tuan sedangkan(Al Quran) itu diturunkan kepada tuan? Rasulullah saw bersabda; Sesungguhnya aku suka untuk mendengarnya daripada selainku. Maka aku pun membacakan Surah An Nisaa' kepadanya hingga sampai kepada ayat:

Ertinya: Maka bagaimanakah(keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak) apabila Kami datangkan dari setiap umat seorang saksi(iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka) dan Kami juga datangkan engkau(wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?

Apabila sampai kepada ayat ini, Baginda saw bersabda; Cukuplah setakat ini. Tiba-tiba aku melihat kedua mata Baginda saw berlinangan air mata. (HR Bukhari)

Hadis 056

Dail Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda; Apabila Allah swt menurunkan suatu hukum, para malaikat akan merasa gementar dan takut kepada Allah swt sehingga bergoncang kedua sayapnya. Allah swt mendengarkan firmanNya berbunyi seperti rantai yang ditarik di atas batu yang licin. Apabila ketakutan di hati malaikat mulai reda, mereka bertanya di antara satu sama lain; Apakah yang difirmankan oleh Tuhanmu? Mereka menjawab; Satu perintah yang Haq dan sesungguhnya Dia Maha Tinggi lagi Maha Besar. (HR Bukhari)

Hadis 057

Dari Abi Salamah bin Abdul Rahman bin Auf r.alaihi berkata suatu hari Hadzrat Abdullah bin Umar ra dan Abdullah bin Amr bin As ra bertemu dibukit Marwah. Keduanya bercakap-cakap beberapa lama kemudian Abdullah bin Amr ra berlalu meninggalkan tempat itu dan tinggallah Abdullah bin Umar ra disitu dalam keadaan menangis. Seorang lelaki bertanya; Wahai Abu Abdul Rahman! Kenapa kamu menangis? Beliau menjawab; Orang ini yakni Abdullah bin Umar ra memberitahu kepadaku bahawa beliau mendengar Baginda Rasulullah saw bersabda; Barangsiapa mempunyai sifat takabur di dalam hatinya walaupun sebesar biji sawi Allah swt akan menjerumuskan wajahnya ke dalam api neraka. (HR Musnad Ahmad Tabrani Majma az Zawaid)