Muntahkab Hadis - Bab Iman

 

Hadis 021

Dari Anas ra meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda: Tiga sifat, barangsiapa mempunyai sifat-sifat yang berikut akan merasai kemanisan iman: Pertama, mereka yang mencintai Allah dan Rasul lebih dari segala sesuatu. Kedua, Tidak mencintai seseorang kepada seseorang yang lain kecuali kerana Allah swt. Ketiga Seorang yang membenci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan kedalam api. (H.R Bukhari)

Hadis 022

Dari Abu Umamah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Barangsiapa mencintai seseorang kerana Allah swt, dan membenci kerana Allah swt, memberi kerana Allah swt dan menarik pemberian juga kerana Allah swt, maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan imannya. (H.R. Abu Daud)

Hadis 023

Dari lbn Abbas ra, meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda kepada Abu Dzar ra: Wahai Abu Dzar beritahu apakah tanda-tanda iman yang kuat? Beliau menjawab: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. (Oleh kerana itu)Baginda saw menjawab: Seseorang yang menjalin hubungan dan saling membantu semata-mata kerana Allah swt, mengasihi dan membenci seseorang kerana Allah. (H.R. Al-Baihaki)

Keterangan:
Di antara cabang-cabang iman yang paling kuat dan menghidupkan ruh iman ialah mereka yang menjalin hubungan silaturrahmi atau memutuskan hubungan, mencintai atau memusuhi seseorang semata-mata kerana Allah swt. Sedikitpun bukan kerana dorongan hawa nafsu bahkan mengikut tuntutan agama. Begitu juga dengan orang-orang yang berada dibawahnya.

Hadis 024

Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Sangat beruntung sekali orang yang beriman kepadaku dan pernah melihatku(sekali). Sungguh beruntung sekali orang yang beriman kepadaku dan belum pernah melihatku(sehingga tujuh kali). (H.R Ahmad)

Hadis 025

Dari Abdul Rahman ibni Yazid ra bercerita di hadapan Abdullah tentang sahabat-sahabat Nabi Muhammad saw mengenai iman mereka. Abdullah berkata "Kebenaran Rasulullah saw di hadapan sesiapa sahaja yang telah melihat Baginda adalah jelas, demi Allah swt yang tiada disembah melainkan Dia. Sesungguhnya iman yang paling tinggi ialah iman seseorang yang beriman tanpa melihat. Sebagai dalilnya beliau membaca ayat Alif Lam Mim. Zalikal Kitaabula Roiba Fiih.... sehingga ayat Yus minuu Nabil Ghaib. (Ertinya, lnilah Kitab yang tiada keraguan padanya, sebagai petunjuk bagi mereka yang bertakwa, iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib.) (H.R. Al Hakim)

Hadis 026

Dari Anas ibni Malik ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Aku berkeinginan untuk bertemu dengan saudara-saudaraku. Para sahabat berkata, tidakkah kami ini saudara-saudara tuan? Baginda saw menjawab: Kamu adalah sahabatku, tetapi saudara-saudaraku ialah orang-orang yang beriman kepadaku, walaupun mereka tidak melihat aku. (H.R. Ahmad)

Hadis 027

Dari Abi Abdur Rahman Al Juhani ra berkata: ketika kami duduk-duduk bersama Rasulullah saw telah muncul dua orang berkenderaan. Ketika Baginda melihatnya beliau berkata: Kedua orang ini nampaknya berasal dari Kindah dan Madhij. Ketika mereka sampai memang benar mereka berasal dari Madhij. Perawi berkata salah seorang daripadanya maju ke hadapan Rasulullah saw untuk berbaiat. Sambil berjabat tangan beliau berkata: Wahai Rasulullah, Apakah yang akan diperolehi oleh seorang yang melihat tuan dan terus beriman, seorang yang membenarkan tuan dan seorang yang mentaati tuan? Baginda saw menjawab: Berilah khabar gembira untuknya. Selepas mendengar kata Baginda beliau mengusap tangan Baginda (untuk mendapat keberkatan) berbaiat dan pergi.

Kemudian datang seorang lain ke hadapan Baginda dan memegang tangan Baginda untuk berbaiat lalu bertanya: Wahai Rasulullah apakah yang akan diperolehi oleh seorang yang beriman kepada tuan, membenarkan tuan dan mentaati tuan tetapi tidak melihat tuan? Lantas Baginda saw menjawab; Berilah berita gembira untuknya, berilah berita gembira untuknya, berilah berita gembira untuknya. Perawi berkata, lalu dia mengusap tangan Nabi saw dan pergi. (H.R. Ahmad)

Hadis 028

Dari Abu Musa ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda: Tiga jenis orang yang akan mendapat ganjaran dua kali ganda. Pertama, seorang ahli kitab(Yahudi atau Nasrani) yang beriman kepada nabinya kemudian beriman pula kepada Nabi Muhammad saw. Kedua, seorang hamba yang menunaikan haq Tuhannya kemudian menunaikan juga hak tuannya. Ketiga, seorang yang mempunyai hamba sahaya perempuan yang dijagainya dengan baik, dididik dengan ilmu pengetahuan dengan sempurna lalu dibebaskannya kemudian mengahwininya. Mereka ini mendapat ganjaran dua kali ganda. (H.R. Bukhari)

Keterangan:
Maksud hadith ini ialah pahala berganda yang dicatitkan itu ialah jika dibandingkan dengan orang lain. Sebagai contoh seorang yang lain bersembahyang, dia hanya mendapat pahala sepuluh kali ganda. Ini berbanding dengan salah satu dari tiga jenis orang ini jika melakukan amal yang sama, maka pahalanya akan menjadi dua puluh kali ganda.

Hadis 029

Dari Aswat rah.a menceritakan satu ketika Abu Bakar ra bercakap-cakap dengan kami lalu berkata: Setahun yang lalu Baginda Rasulullah saw berdiri di mana tempat saya sedang berdiri. Kemudian Abu Bakar ra menangis. Kemudian beliau berkata; Mohonlah kepada Allah akan keadaan yang baik(Afiat) kerana selepas diberi iman dan yakin yang kuat, tiada yang lebih besar daripada itu kecuali Afiat. (H.R. Ahmad)

Hadis 030

Dari Amir Ibn Shuib ra bapanya dari datuknya meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda: Bermulanya Islah(pembentukan) bagi ummat ini ialah Iman dan Yakin yang sempurna. Dan bermulanya kerosakan bagi ummat ini ialah disebabkan bakhil dan panjang angan-angan. (H,R Baihaki)

Hadis 031

Dari Umar ibnu Khattab ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya Allah akan memberi rezeki sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung-burung. Mereka pergi di pagi hari dengan perut kosong dan kembali pada waktu petang dengan perut yang kenyang. (H.R Tirmizi)

Hadis 032

Dari Jabir bin Abdullah ra meriwayatkan bahawa beliau bersama-sama Rasulullah saw dalam satu ghazwah yang menuju ke Nadj. Ketika waktu pulang beliau masih bersama Rasulullah saw apabila mereka sampai di kawasan hutan yang ditumbuhi dengan pokok-pokok berduri, Rasulullah saw turun dari tunggangannya untuk berehat. Dan para sahabat bertebaran mencari tempat untuk berteduh. Rasulullah saw berteduh dibawah sebatang pokok dan menggantungkan pedangnya pada pokok tersebut. Lantas kami pun tertidur seketika, dengan tiba-tiba kami mendengar suara Rasulullah saw memanggil kami. Kami dapati di hadapan beliau seorang badwi kafir. Baginda Rasulullah saw bersabda; Dia telah mencuri pedangku ketika aku sedang tidur, apabila aku terjaga aku dapati sebilah pedang terhunus di hadapanku dan dia berkata: Siapakah yang dapat melindungi kamu daripada pedang ini? Aku menjawab: Allah Sebanyak tiga kali. Lantas dia terduduk. Rasulullah saw tidak menghukum dengan perbuatannya itu. (H.R. Bukhari)

Hadis 033

Dari Saleh Ibn Mismar dan Jaafar Ibn Burkhon rahimahumallah menceritakan bahawa Rasulullah saw bertanya kepada Haris bin Malik: Wahai Haris, bagaimanakah keadaan (iman) kamu? Haris menjawab: (dengan rahmat Allah) Aku dalam keadaan mukmin. Baginda saw bertanya lagi: Adakah mukmin yang sebenar? Beliau menjawab: Mukmin yang sebenar. Nabi saw bersabda; Sesungguhnya setiap sesuatu itu ada hakikatnya, apakah hakikat iman kamu? Beliau menjawab: (Hakikat imanku ialah)Hatiku telah berpaling daripada dunia. Di waktu malamku, aku bangun (untuk beribadah) dan di waktu siang aku kehausan kerana berpuasa. Di waktu aku dibawa ke Arash Allah seolah-olah aku diperlihatkan dimataku dimana ahli-ahli syurga bertemu diantara satu sama lain(dengan kegembiraan) dan seolah-olah aku mendengar jeritan ahli-ahli neraka(yakni keadaan syurga dan neraka sentiasa di dalam pemikiranku.) (H.R. Musannaf Abdul Razak)

Hadis 034

Dari Maiz ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw ditanya apakah amal yang paling afdhal? Baginda Rasulullah saw menjawab: (Amal yang paling afdhal ialah)Beriman kepada Allah yang satu, kemudian berjihad, kemudian haji yang makbul, kelebihan amal-amal ini daripada amal yang lain adalah seumpama jaraknya matahari terbit di timur dan tenggelamnya di barat. (H.R. Ahmad)

Hadis 035

Dari Abu Umamah ra katanya: Pada satu hari para sahabat bercakap-cakap di hadapan Baginda Rasulullah saw mengenai perkara dunia. Maka Rasulullah saw bersabda: Tidakkah kamu dengar? Tidakkah kamu dengar? Sesungguhnya sederhana itu sebahagian dari iman (H.R. Abu Daud)

Keterangan:
Maksud dari hadith ini ialah jangan ada sifat `takalluf' (cerewet). Hindarkan dari perkara-perkara yang tidak perlu.

Hadis 036

Dari Amr bin Abasah ra meriwayatkan bahawa beliau bertanya iman apakah yang lebih afdhal? Baginda saw menjawab: Iman yang mana disertai dengan hijrah. Beliau bertanya: Apakah hijrah itu? Baginda saw menjawab: Hijrah daripada meninggalkan kejahatan. (H.R. Musnad Ahmad)

Hadis 037

Dari Sufian bin Abdullah As-Saqafi ra berkata, aku bertanya kepada Rasulullah saw: Ya Rasulullah! Beritahulah kepadaku sesuatu tentang Islam yang mana selepas ini aku tidak akan bertanya kepada sesiapa pun. Baginda Rasulullah saw bersabda: Katakanlah bahawa Aku beriman kepada Allah kemudian kamu beristiqamah dengannya. (H.R. Muslim)

Keterangan:
Pertama hendaklah beriman kepada Zat Allah dan sifat-sifatNya. Kemudian melaksanakan segala perintah-perintah Allah dan sunnah-sunnah RasulNya. Iman dan amal ini bukanlah untuk sementara sahaja bahkan kekal dan berterusan

Hadis 038

Dari Abdullah bin Amir Ibn As ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya Iman akan menjadi lusuh dan buruk di dalam hati kamu sebagaimana pakaian akan menjadi buruk apabila dipakai. Oleh itu mintalah kepada Allah untuk memperbaharui iman dalam hati-hati kamu. (H.R. Hakim)

Hadis 039

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda: Allah telah mengampuni segala bentuk lintasan-lintasan buruk (yang bertentangan dengan Iman dan yakin atau lintasan hati yang tidak disengajakan) dari hati umatku selagi mana ia belum diamalkan atau dicakapkan. (H.R. Bukhari)

Hadis 040

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa beberapa orang sahabat telah datang kepada Baginda Rasulullah saw dan bertanya: Kami mendapati di dalam hati kami tersedik pemikiran-pemikiran yang kami rasakan hina untuk diperkatakan. Baginda saw bersabda: Apakah benar apa yang kamu rasakan? Mereka menjawab: Benar. Bersabda Nabi saw: Sesungguhnya itulah buktinya iman. (H.R. Bukhari)

1
2
3
4