Muntahkab Hadis - Bab Iman

 

Hadis 061

Dari Anas bin Malik ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda: Barangsiapa meninggalkan dunia ini dalam keadaan ikhlas dan tidak menyengutukanNya dengan sesuatu, mendirikan sembahyang dan membayar zakat, dalam keadaan sedemikian dia meninggal dunia, Allah redha kepadanya. (H.R.Hakim)

Hadis 062

Dari Abu Dzar ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya telah berjaya seseorang itu yang beriman dengan ikhlas, menjadikan hatinya suci(dari syirik dan kekufuran), ucapannya jujur dan benar. Jiwanya tenang(orang yang banyak berzikir dan melaksanakan segala perintah Allah akan mendapat ketenangan), baik budi pekertinya, menjadikan telinganya mendengar(nasihat) dan matanya melihat kepada kebenaran. (H.R. Musnad Ahmad)

Hadis 063

Hazrat Jabir bin Abdullah ra berkata, aku mendengar Rasulullah saw bersabda; Barangsiapa bertemu Allah swt dalam keadaan dia tidak menyekutukanNya dengan sesuatu maka dia akan memasuki syurga. Dan barangsiapa bertemu Allah swt dalam keadaan dia menyekutukanNya dengan sesuatu maka dia akan memasuki neraka.(H.R. Muslim)

Hadis 064

Dari Ubadah bin Somit ra berkata, aku mendengar Baginda Rasulullah saw bersabda: Barangsiapa mati dalam keadaan tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu, pasti Allah mengharamkannya daripada Api neraka. (Amal yaum wallailah)

Hadis 065

Dari Nawwas bin Sam'an ra meriwayatkan bahawa dia telah mendengar Baginda Rasulullah saw bersabda: Barangsiapa mati dalam keadaan dia tidak mensyarikatkan Allah dengan sesuatu maka wajib baginya mendapat pengampunan Allah. (H.R.Tabrani, Majmauz Zawaid)

Hadis 066

Dari Muaz bin Jabal ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Wahai Muaz, tidakkah kamu mendengar apa-apa suara pada malam tadi? Saya menjawab: Tidak! Sabda Nabi saw: Sesungguhnya telah datang kepadaku seorang malaikat dari Rabbku yang telah memberikan khabar gembira kepadaku, iaitu barangsiapa yang mati dalam keadaan tidak mensyarikatkan Allah dengan sesuatu akan memasuki syurga. Aku berkata: Ya Rasulullah Tidakkah aku khabarkan kepada mereka tentang berita gembira ini? Nabi saw bersabda: Tinggalkan mereka dalam keadaan seperti ini supaya mereka berlumba-lumba dalam amal kebaikan. (H.R Tabrani)

Hadis 067

Dari Muaz bin Jabal ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Wahai Muaz! Adakah kamu tahu apakah hak Allah ke atas seorang hamba? Dan hak hamba keatas Tuhannya? Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Nabi saw bersabda: Sesungguhnya hak Allah keatas seorang hamba ialah hendaklah dia menyembah Allah dan jangan menyengutukanNya dengan sesuatu. Dan hak seorang hamba ke atas Tuhan ialah tidak mengazab orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu. (H.R. Muslim)

Hadis 068

Dari Ibni Abbas ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda: Barangsiapa menemui Allah dalam keadaan tidak mensyirikkan sesuatu denganNya, dan tidak membunuh seseorang akan menemui Allah dengan tiada bebanan di belakangnya. (H.R Tabrani)

Hadis 069

Hazrat Jarir ra meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda: Barangsiapa mati tanpa menyekutukan Allah swt dengan sesuatu dan dia tidak menggunakan tangannya untuk membunuh seseorang tanpa hak maka dia akan dimasukkan dalam syurga melalui pintu mana yang dia ingini. (H.R. Tabrani)

Hadis 070

Dari Ibnu Abbas ra meriwayatkan bahawa Jibrail a.s bertanya kepada Baginda Rasulullah saw: Apakah itu Iman? Rasulullah saw menjawab: Iman itu ialah kamu beriman kepada Allah swt, kepada hari Akhirat, kepada malaikat-malaikat, kepada kitab-kitab dan para Nabi. Kamu beriman dengan adanya mati dan kehidupan selepas mati, dan beriman dengan syurga dan neraka, penghisaban dan timbangan, beriman dengan segala takdir yang berlaku, baik atau buruknya. Jibrail bertanya; Jikalau aku berbuat demikian apakah aku beriman? Rasulullah SAW menjawab: Jikalau kamu berbuat demikian, sesungguhnya kamu sudah beriman. (H.R. Musnad Ahmad)

Hadis 071

Dari Abi Hurairah ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda: Iman itu ialah beriman dengan Allah swt dan MalaikatNya, dan meyakini hari pertemuan denganNya dan RasulNya, dan beriman dengan perkara-perkara yang ghaib. (HR. Bukhari)

Hadis 072

Dari Umar Ibnul Khattab ra meriwayatkan bahawa beliau mendengar Baginda Rasulullah saw bersabda: Barangsiapa yang mati dalam keadaan beriman kepada Allah swt dan hari Akhirat, akan dikatakan kepadanya masuklah ke dalam syurga daripada mana-mana lapan pintu syurga yang kamu kehendaki. (H.R. Ahmad)

Hadis 073

Dari Abdullah ibn Masud ra meriwayatkan Baginda Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya syaitan dan malaikat membisikkan ke dalam hati setiap manusia. Syaitan sentiasa membisikkan supaya melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran. Ada pun bisikan para Malaikat ialah mendorong manusia supaya berbuat kebaikan dan kebenaran. Maka barangsiapa mendapati sedemikian ketahuilah bahawa ia adalah daripada Allah swt. Dan bersyukurlah kepada Allah swt. Barangsiapa terdorong kepada kejahatan hendaklah dia berlindung kepada Allah swt daripada syaitan yang kena rejam. Kemudian Baginda saw membacakan sepotong ayat Al-Quran yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan sentiasa menakut-nakutkan kamu kepada kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (Surah Al-Bagarah ayat 268) (H.R. Tarmizi.)

Hadis 074

Dari Abu Darda ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw, bersabda: Besarkanlah Allah swt dalam hati kamu nescaya kamu akan diampuniNya. (H.R. Ahmad)

Hadis 075

Dari Abu Dzar ra meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda: Allah swt berfirman; Wahai hambaKu, Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diriKu dan Aku juga telah mengharamkannya di antara kamu, maka janganlah kamu berlaku zalim. Wahai hambaKu, kamu semua sesat, kecuali mereka yang Aku berikan petunjuk, maka mohonlah petunjukKu, Aku akan berikan petunjuk kepada kamu. Wahai hambaKu, kamu semua lapar kecuali mereka yang Aku berikan makan, mohonlah makan kepadaKu, nescaya Aku berikan makan kepada kamu. Wahai hambaKu, kamu semua telanjang kecuali orang yang Aku berikan pakaian, oleh itu mohonlah pakaian kepadaKu, Aku akan berikan pakaian kepada kamu. Wahai hambaKu, sesungguhnya kamu melakukan dosa siang dan malam dan Aku mengampuni semua dosa-dosa, mohonlah pengampunanKu, nescaya Aku ampuni kamu.

Wahai hambaKu, jika kamu mahu memberi mudharat kepadaKu, nescaya sekali-kali kamu tidak boleh berbuat demikian dan sekali-kali tidak boleh memberi manfaat. Wahai hambaKu, jika orang yang pertama di kalangan kamu dan orang yang terakhir di kalangan kamu, semua manusia dan jin yang saleh di antara kamu, tidak akan menambah di dalam kerajaan Aku sedikit pun. Wahai hambaKu, jika orang yang pertama dan terakhir di antara kamu, di kalangan manusia dan jin, mereka semua dari kalangan orang yang fajir, seorang yang sejahat-jahat manusia di antara kamu, tidak akan mengurangi kerajaanKu walau sedikit pun.

Wahai hambaKu, jika orang yang pertama dan terakhir di antara kamu, semua manusia dan jin, berdiri di tanah lapang dan memohon kepadaKu dan Aku memberi kepada setiap orang apa yang dimintanya, sedikitpun tidak mengurangi di dalam khazanahKu, hanya seperti setitik air pada hujung jarum yang dicelupkan di lautan. Wahai hambaKu, itulah amalan yang Ku catitkan dan Aku perhitungkan bagi kamu, kemudian Aku mengimbangi secara penuh kepada kamu, barangsiapa mendapati kebaikan, bersyukurlah kepada Allah dan barangsiapa mendapati yang lain, maka janganlah menyalahkan orang lain kecuali dari dirinya sendiri. (H.R. Muslim)

Hadis 076

Dari Abi Musa Al-Asya'ri ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah satu ketika berdiri di hadapan kami memberi lima rangkai kalimat: Maka sabdanya: Sesungguhnya Allah swt tidak tidur. Dan tidak selayaknya bagi Allah swt itu tidur. Mengurangi dan menambahkan rezeki. Mengangkat amalan malam sebelum amalan siang. Dan mengangkat amalan siang sebelum amalan malam. Hijabnya daripada nur, jika ia dibuka nescaya sejauh mana makhluk yang dapat dilihat akan terbakar kerananya. (H.R Muslim)

Hadis 077

Dari Ibni Abbas ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya Allah swt telah menciptakan Israfil, semenjak hari penciptaannya terus berdiri dengan lurus di atas kedua belah kakinya tidak pernah mengangkat wajahnya. Di antara dia dan TuhanNya yang Maha Tinggi terdapat tujuh puluh hijab(dinding) dari Nur. Jika ia mendekati kepada hijab ini nescaya akan terbakar (H.R. Masabihus Sunnah)

Hadis 078

Dari Zurarah lbnu Aufa ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw pernah bertanya kepada Hadzrat Jibril a.s: Adakah kamu pernah melihat Tuhan kamu? Mendengar pertanyaan itu gementar hati Jibril dan berkata: Wahai Muhammad, sesungguhnya di antara aku dan Dia terdapat tujuh puluh hijab daripada nur, jika aku mendekati salah satu daripadanya nescaya terbakarlah aku. (H.R. Masabihus Sunnah)

Hadis 079

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Allah swt berfirman: Berbelanjalah kamu, Aku akan memberi. Kemudian Rasulullah saw bersabda; Tangan Allah swt yakni khazanah Allah swt adalah penuh, dibelanjakan siang dan malam terus menerus, tidak akan berkurangan. Tidakkah kamu lihat semenjak Allah swt menciptakan langit dan bumi(sebelum itu lagi), yang mana ArasyNya berada di atas air, berapa banyak yang telah dibelanjakan, (walaupun begitu)khazanahNya sedikit pun tidak berkurangan. Takdir, baik buruk dan timbangan adalah di tanganNya. (H.R. Bukhari)

Hadis 080

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda: Pada hari Kiamat bumi akan berada di dalam genggaman Allah swt dan langit berada di sebelah kananNya. Kemudian berfirman; Akulah Raja, di manakah raja bumi hari ini? (H. R. Bukhari)

1
2
3
4