Muntahkab Hadis - Bab Iman

 

Hadis 101

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa baginda Rasullullah saw bersabda: Barang siapa berpegang dengan sunnah-sunnahKu ketika di zaman rosaknya ummatku baginya adalah ganjaran syahid (di jalan Allah). (H.R Tabrani)

Hadis 102

Dari Malik bin Anas ra menceritakan bahawa telah sampai kepadanya satu riwayat di mana baginda Rasulullah saw bersabda: Aku telah tinggalkan dua perkara selagi mana kamu berpegang dengan keduanya sekali-kali kamu tidak akan sesat. Dia itu ialah Al-Quran dan sunnah Nabinya. (H.R Muwata' Imam Malik)

Hadis 103

Dari 'Irbadh ibn Sariah ra meriwayatkan, bahawa Rasulullah saw pada satu hari selepas sembahyang subuh baginda menasihati kami dengan sebuah nasihat yang sangat menyayat hati, sehingga menyebabkan air mata kami mengalir dan hati-hati kami gementar. Sehingga seorang berkata: Sesungguhnya nasihat ini seperti ucapan selamat tinggal, kerana itu kepada apa engkau mengajak kami wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Aku menasihatkan kamu dengan bertakwa kepada Allah, mendengar serta taat(kepada mereka yang menjadi ketua) walaupun dia seorang hamba Habsyi, kerana sesungguhnya barangsiapa yang hidup di antara kamu akan melihat banyak perselisihan. Jauhilah diri kamu dari perkara-perkara yang baru, kerana sesungguhnya setiap perkara yang baru itu sesat. Oleh itu barangsiapa diantara kamu yang menjumpai masa itu maka hendaklah kamu berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah khulafaur-Rashidin. (H.R. Tarmizi)

Hadis 104

Dari Abdulah ibnu Abbas ra meriwayatkan Rasulullahi saw melihat sebentuk cincin emas pada tangan seorang lelaki, maka baginda membukanya dari jari tangannya dan membuangnya dan berkata: Betapa hairannya ada seorang di antara kamu ingin meletakkan bara api di tangannya(Barang siapa yang memakai di tangannya sesuatu barang yang terbuat daripada emas maka tangan itu berada di dalam api neraka) Selepas Rasulullah berlalu dari situ salah seorang berkata kepadanya: Ambillah cincinmu dan gunakanlah ia(dijual atau dihadiahkan kepada orang lain) Dia menjawab: Tidak! Demi Allah saya tidak akan mengambil sesuatu yang telah di buang oleh Rasulullah saw (H.R Muslim.)

Hadis 105

Dari Zainab r.ha meriwayatkan; Aku datang menziarahi Ummu Habibah r.ha isteri Nabi ketika ayahnya Abu Sufian ibn Harb ra meninggal dunia. Ummu Habibah r.ha meminta sedikit minyak wangi yang terdiri dari campuran bahan safra'(kekuningan) dan Kholuk atau bahan yang lainnya. Kemudian dia menyapukan sedikit kepada hamba sahayanya dan menyapukan sedikit minyak itu pada kedua belah pipinya dan berkata: Demi Allah saya tidak perlu kepada wangi-wangian, akan tetapi aku mendengar Rasulullah saw bersabda tidak dihalalkan bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat untuk berkabung ke atas seorang yang meninggal dunia lebih dari tiga hari kecuali ke atas seorang suami yang masanya empat bulan sepuluh hari. (H.R. Bukhari.)

Keterangan:
Kholuk adalah sejenis campuran minyak wangi yang campurannya dilebihkan pada safran.

Hadis 106

Anas bin Malik ra meriwayatkan seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw: Bilakah akan berlaku hari Kiamat wahai Rasulullah saw? Baginda Rasulullah saw menjawab: Apakah persiapan engkau untuk hari itu? Dia menjawab. Aku tidak ada persiapan untuk itu dengan banyak bersolat, dan puasa sunat ataupun bersedekah, akan tetapl aku mencintai Allah dan RasulNya. Nabi saw bersabda: Kamu akan berada bersama dengan orang yang kamu cintai. (H.R. Bukhari)

Hadis 107

Dari Aishah r.ha meriwayatkan, telah datang seorang lelaki menemui Rasulullah dan berkata: Ya Rasulullah, tuan lebih aku cintai dari diriku sendiri dan lebih aku cintai; daripada isteriku dan hartaku dan tuan lebih aku cintai dari anak-anakku, ketika aku berada di rumah aku sentiasa berfikir atasmu, aku menjadi tidak sabar sehingga aku datang melihat tuan dan apabila aku teringat kematianku dan kematianmu aku mengetahui sesungguhnya tuan akan dimasukkan ke dalam syurga bersama dengan Nabi-Nabi dan jika aku memasuki syurga, aku takut kalau aku tidak dapat melihat tuan. Nabi tidak menjawab sehingga turun Jibrail a.s. membawa ayat berikut;

Ertinya:
Barangsiapa mentaati Allah clan RasulNya, mereka akan berada bersama mereka yang telah diberi nikmat keatas mereka dikalangan para Nabi-Nabi, para Siddiqin, Syuhada' don Salihin. Dan merekalah sebaik-baik Leman. (Tafsir lbnu Kathir)

Hadis 108

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan, bahawa Rasulullah saw bersabda: Diantara mereka yang sangat mencintaiku ialah orang-orang yang datang selepasku. Mereka menyesal alangkah baiknya dapat melihatku walaupun terpaksa membelanjakan rumah, segala hartanya dan ahli keluarganya. (dikorbankan supaya dapat melihatku.) (H.R. Muslim)

Hadis 109

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Aku telah dilebihkan dari kalangan para nabi-nabi diatas enam perkara. Aku telah diberikan Jawamial Kalimat iaitu ungkapan-ungkapan yang sempurna, bantuan dari Allah dengan ketakutan di dalam hati musuh, dihalalkan bagiku harta-harta rampasan perang, dijadikan seluruh muka bumi sebagai suci dan boleh membina masjid di mana-mana, aku diutus untuk seluruh makhluk dan sebagai penutup sekalian para nabi-nabi. (H.R.Muslim)

Keterangan:
Jawamiul Kalam ialah perkataan-perkataan ringkas, dan ayat-ayat pendek tetapi mengandungi banyak makna. Bagi ummat yang terdahulu harta rampasan perang tidak boleh digunakan bahkan dibakar sehingga hangus. Begitu juga dalam ibadat, ummat yang terdahulu hanya boleh beribadat di dalam tempat yang khas sahaja. Tanah disucikan di mana boleh digunakan untuk bertayamum. Akulah di kalangan para nabi-nabi yang diutus untuk sekalian manusia, bukan untuk kaum-kaum tertentu. Sebagai nabi penutup yang mana selepas ini tidak akan ada lagi nabi yang diutus.

Hadis 110

Dari 'Irbadh bin Sariah ra berkata aku mendengar Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya aku ialah hamba Allah dan Nabi yang terakhir. (H.R. Mustadrak Hakim)

Hadis 111

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Perumpamaanku dan perumpamaan nabi-nabi yang terdahulu adalah seumpama seorang yang membina sebuah rumah yang sempurna dan sangat cantik kecuali di satu sudut yang masih kosong dengan sebiji batu. Orang ramai mengelilinginya dan merasa hairan dengan kecantikannya, namun mereka juga berkata: Kenapa tidak diletakkan di sudut ini dengan sebiji batu? Nabi saw bersabda: Akulah batu bata itu dan akulah penutup para nabi. (H.R. Bukhari)

Hadis 112

Dari lbnu Abbas ra meriwayatkan: Satu hari aku sedang duduk di belakang Rasulullah saw(diatas kenderaan), Baginda saw bersabda: Wahai anakku, aku ajarkan kepada kamu beberapa kalimat: peliharalah(hukum-hukum) Allah, Dia akan menjaga kamu. Peliharalah hak-hak Allah, kamu akan perolehi bantuan daripadaNya di hadapan kamu, apabila kamu meminta, mintalah kepada Allah, apabila kamu memohon pertolongan, mintalah pertolongan dari Allah. Ketahuilah bahawasanya, sekiranya berkumpul seluruh manusia untuk memberi sesuatu menafaat kepada kamu, nescaya tidak boleh memberi menafaat kecuali apa yang ditakdirkan oleh Allah kepada kamu dan sekiranya berkumpul seluruh manusia untuk memberi sesuatu mudharat kepada kamu, nescaya mereka tidak boleh memudharatkan kamu kecuali apa yang telah ditakdirkan oleh Allah keatas kamu. Pena(untuk menulis takdir) telah diangkat dan dakwat(selepas menuliskan takdir di kertas) telah kering.(satu keputusan yang telah ditetapkan oleh Allah sedikit pun tidak mungkin akan berubah). (H.R. Tarmizi)

Hadis 113

Dari Abu. Darda rA meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda: Bagi setiap sesuatu itu ada hakikatnya, dan tidak mencapai hakikat iman seseorang hamba itu sehingga dia mengetahui bahawa setiap apa yang menimpanya itu ialah situ ketetapan, bukannya datang sendiri atau perkara yang belum terjadi itu tidak boleh berlaku. (H.R.Tabrani, Ahmad)

Keterangan:
Apa sahaja bentuk musibah atau keadaan yang datang pada manusia hendaklah diyakini bahawa itu adalah ketetapan Allah Swt. Kita tidak mengetahui hikmah atau kebaikan di sebaliknya. Dengan meyakini kepada Takdir seseorang itu dapat memelihara Iman, menghindarkan waswas (bisikan syaitan) didalam hati dan mendapat ketenangan jiwa.

Hadis 114

Dari Abdullah ibnu Amar ibnu Al-Ash ra meriwayatkan, saya mendengar Rasulullah bersabda: Telah ditulis oleh Allah takdir seluruh makhluk 50.000 tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi. Baginda juga bersabda: Dan ArasyNya berada di atas air. (H.R. Muslim)

Hadis 115

Dari Abu Darda ra meriwayatkan, Rasulullah saw bersabda: Allah telah menetapkan lima perkara bagi setiap hambaNya; Ajalnya dan rezekinya, umurnya, untung nasib buruk dan nasib baiknya. (H.R. Ahmad)

Hadis 116

Dari Amar ibnu Syuaib ra dari ayahnya dari datuknya dari Rasulullah saw bersabda: Belum dikatakan beriman seseorang itu sehingga dia beriman kepada takdir (ketentuan Allah), baik maupun buruk. (H.R. Ahmad)

Hadis 117

Dan Ali ra meriwayatkan, bahawa Rasulullah saw bersabda: Tiada benar-benar beriman seseorang hamba itu sehingga dia beriman kepada empat perkara; 1) Dia bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan sesungguhnya aku adalah utusan Allah dan Dia telah mengutusku dengan kebenaran 2) Beriman kepada maut 3) Beriman kepada Kebangkitan setelah mati 4) Beriman kepada Qadar(takdir). (H.R.Tarmizi)

Hadis 118

Dari Abi Hafsah r. alaih meriwayatkan, Ubadah bin Sandi menasihati anaknya: Wahai anakku, sesungguhnya engkau tidak akan merasai hakikat iman(yakin) sehingga kamu mempercayai(dengan yakin) bahawa apa sahaja yang menimpa kamu tidak terlepas daripadamu dan apa sahaja yang belum menimpa kamu memang tidak ditakdirkan perkara itu akan berlaku, Aku mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya perkara pertama yang Allah swt ciptakan adalah Kalam, kemudiati Dia berfirman kepadanya, tulislah! Maka Kalam itu bertanya: Wahai Tuhanku, apakah yang mesti Aku tulis? Allah berfirman: Iulislah tentang takdir segala sesuatu sehingga hari Kiamat. Wahai anakku, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah saw bersabda: Barangsiapa yang mati dengan keyakinan yang selain daripada ini, maka dia bukanlah dari golonganku. (H. R. Abu Daud)

Hadis 119

Dari Anas ibnu Malik ra meriwayatkan, bahawa Nabi saw bersabda: Allah Taala memerintahkan seorang malaikat untuk berada dalam rahim(ibu). Kemudian (malaikat itu berseru); Wahai Tuhanku, setitis mani(telah masuk). Wahai Tuhanku, (sekarang)telah menjadi segumpal darah. Wahai Tuhanku, (sekarang)telah menjadi seketul daging. Kemudian apabila Allah berkehendak untuk menyempurnakan penciptaanNya, maka(malaikat) bertanya: Wahai Tuhanku, apa yang mesti aku tulis tentangnya , lelaki atau perempuan? Apakah bernasib baik atau buruk? Bagaimana rezekinya? Bagaimana dengan ajalnya? kemudian ditulislah semua ketentuan itu ketika masih dalam perut ibunya. (H.R. Bukhari)

Hadis 120

Dari Anas ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya besarnya pahala adalah bergantung dengan besarnya ujian dan penderitaan. Dan sesungguhnya apabila Allah mengasihi sesuatu kaum, Dia akan menguji mereka(dengan penderitaan). Oleh sebab itu, barangsiapa yang redhai ujian Allah, Allah juga akan meredhainya. Dan barangsiapa yang tidak redha, maka Allah juga tidak meredhainya. (H.R.Tarmizi)

5
6
7