Muntahkab Hadis - Bab Iman

 

Hadis 141

Dari Anas ibn Malik ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Seorang hamba apabila dimasukkan ke dalam liang kubur dan orang-orang yang menghantar jenazahnya telah meninggalkannya(masih dalam jarak yang hampir), di mana suara-suara tapak kaki mereka masih kedengaran, pada masa itu juga dua orang malaikat telah datang menghampirinya. Malaikat telah mendudukkan orang itu, kemudian bertanya; Apakah pandangan kamu tentang seorang iaitu Muhammad? Kalau dia seorang mukmin, dia akan berkata; Aku bersaksi bahawasanya dia adalah hamba Allah swt dan PesuruhNya. Maka akan dikatakan kepadanya: Lihatlah tempatmu di dalam neraka. Maka Allah telah menukarkan tempatnya ke dalam syurga dan dia telah melihat kedua-dua tempatnya. Adapun mengenai orang-orang munafik dan orang kafir(selepas mati juga) akan ditanyakan kepadanya: Apakah yang kamu ketahui mengenai orang ini? Dia akan menjawab: Aku tidak tahu mengenainya, cuma aku mengatakan apa yang orang lain katakan. Maka akan dikatakan kepadanya: Kamu tidak tahu mengenainya, tetapi kamu tidak mengikut orang yang tahu. (Maka sebagai balasannya)Orang itu akan dipukul dengan sebuah penukul besi yang menyebabkan dia menjerit dengan jeritan yang amat kuat didengari oleh (makhluk)sekitarnya kecuali manusia dan jin. (H.R. Bukhari).

Hadis 142

Dari Anas ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Tidak akan berlaku hari Kebangkitan sehingga tidak ada seorang pun di atas muka bumi yang mengucapkan (kalimah) Allah, Allah. Dalam satu riwayat yang lain dinyatakan; Selagi masih ada orang mengatakan Allah, Allah, kiamat tidak akan berlaku. (H.R. Muslim)

Keterangan:
Hari Kiamat akan berlaku apabila di dunia ini benar-benar kosong dari mengingati Allah swt. Hadith ini juga memberi maksud Hari Kiamat tidak akan berlaku selagi masih ada manusia yang menyeru: Wahai manusia takutlah kamu kepada Allah swt dan hanya kepadaNya sahajalah kamu menyembah.

Hadis 143

Dari Abdullah ra meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda: Tidak akan berlaku Hari Kiamat kecuali ke atas orang-orang yang paling jahat. (H.R. Muslim)

Hadis 144

Dari Abdullah Ibn Umar ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: (Sebelum berlakunya Hari Kiamat)Dajjal akan muncul di kalangan umatku dan dia akan tinggal selama empat puluh. Perawi hadith ini Hadzrat Abdullah bin Umar ra berkata: Aku tidak mengetahui apakah maksud Rasulullah saw mengenai 40 itu samada 40 hari, atau 40 bulan atau 40 tahun. Kemudian Allah menurunkan Nabi Isa bin Maryam a.s yang rupanya seolah-olah seperti Urwah bin Mas'ud, untuk mencarinya dan dapat membunuhnya. Kemudian tinggallah manusia selama tujuh tahun dengan penuh aman sehingga tidak ada pergaduhan antara dua orang.

Kemudian Allah swt meniupkan angin yang sejuk(bermula dari negeri Sham) yang dengannya mematikan sesiapa sahaja yang mempunyai iman atau kebaikan sebesar zarah sekalipun sehinggakan kalau seseorang daripada kamu berlindung di dalam sebuah bukit nescaya angin itu dapat membunuh kamu. Kemudian Rasulullah saw bersabda: Tinggallah dunia ini hanya orang-orang yang jahat(hatinya kosong dari iman) mereka hidup seumpama binatang buas yang tidak mengenal erti baik sebagai kebaikan dan buruk sebagai keburukan. Syaitan telah menjelma di kalangan mereka dan berkata: Tidak kamu menuruti akan perintahku? Mereka berkata: Apakah perintahmu kepada kami?(nescaya kami akan turuti). Maka syaitan telah memerintahkan mereka untuk menyembah berhala(Dan mereka menuruti). Pada masa itu mereka mendapat rezeki yang banyak, hidup mereka mewah dan senang. Kemudian sengkakala(terompet) akan ditiup. Tidak ada seorang pun yang mendengar bunyi terompet tersebut(dengan suara begitu dahsyat dan menakutkan) kecuali lehernya akan terdongak ke sana dan ke sini. Orang yang pertama mendengar(dan terkesan dengan suara itu ialah seorang yang sedang membaiki bekas minuman air untanya dengan tanah, dia pengsan dan terus mati disitu juga.

Kemudian diikuti oleh orang lain dan matilah keseluruhannya. Kemudian Allah swt menurunkan hujan(gerimis) seumpama embun yang memberi kesan kepada setiap jisim manusia dan kembali bernyawa. Kemudian sengkakala kedua akan ditiup dengan sekali tiupan sahaja semua manusia akan bangun dan berpandang-pandangan antara satu sama lain. Kemudian akan dikatakan kepada mereka: Wahai manusia! pergilah kamu menuju ke arah Tuhanmu!(dengan perintah daripada malaikat) mereka semua berjalan(menuju ke padang Mahsyar) berdiri untuk disoal dan dihisab. Kemudian akan dikatakan kepada mereka: Keluarkanlah daripada mereka di kalangan ahli-ahli neraka. (malaikat)Bertanya: Berapa banyakkah daripada mereka? Jawab: Setiap seribu 999. Rasulullah saw bersabda: lnilah hari di mana kanak-kanak menjadi tua. (Hari yang paling dahsyat dan penuh ketakutan). Di hari yang Allah menzahirkan ZatNya(dengan cara yang khusus). (H.R Muslim)

Dalam satu riwayat yang lain dinyatakan apabila para sahabat mendengar bahawa daripada seribu orang, sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang akan dicampakkan ke dalam api neraka mereka begitu sedih, wajah-wajah mereka berubah lalu baginda bersabda: Sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang itu ialah dari kalangan Ya'jud dan Ma'jud dan juga dari Kafir Musyrik. Seorang dari seribu orang itu ialah dari kalangan kamu(orang-orang yang beriman yang mempunyai usaha dan ikhtiar) (H.R Bukhari)

Hadis 145

Dari Abi Said ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Bagaimana kamu boleh bergembira sedangkan malaikat yang ditugaskan meniup sangkakala telah meletakkan terompet di mulutnya dan sentiasa memasang telinga bilakah mendapat seruan untuk meniup sangkakala. Para sahabat amat terasa bila mendengar berita ini lantas baginda bersabda: Cukuplah bagi Allah sebagai pelindung dan hanya kepada Allah sahaja kami bertawakkal. (H.R Tirmizi)

Hadis 146

Dari Miqdad ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Pada hari Kiamat, matahari akan dihampirkan pada semua makhluk sehingga tinggal sebulan perjalanan dari bumi. (Disebabkan kepanasan)manusia akan berpeluh mengikut kadar amalannya. Lebih banyak keburukan yang dilakukannya lebih banyak peluh yang dikeluarkan sehingga ada yang sampai ke buku lali, sebahagiannya ada yang sampai ke lutut, sebahagiannya ada yang sampai ke pinggangnya dan sebahagian ada yang sampai ke mulutnya. Rasulullah saw menunjukkan tangannya ke arah mulutnya(iaitu hingga sampai kesini) (H.R. Muslim)

Hadis 147

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Manusia akan dihimpunkan pada hari kiamat dalam tiga golongan. Satu golongan berjalan kaki, satu golongan berkenderaan dan satu golongan berjalan di atas muka-muka mereka. Ketika ditanya: Ya Rasulullah, bagaimana mereka berjalan di atas muka-muka mereka? Rasulullah saw menjawab: Sesungguhnya merekalah yang menjadikan mereka berjalan di atas kaki-kaki mereka maka Allah swt berkuasa untuk menjadikan mereka berjalan di atas muka-muka mereka. Bahkan mereka menghindari muka mereka dari rintangan-rintangan dan duri-duri. (H.R. Tirmizi)

Hadis 148

Dari Adi bin Hatim ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: (Pada Hari Kiamat kelak)Tiada salah seorang daripada kamu kecuali akan berkata-kata terus dengan Allah swt tanpa ada penterjemah di antara keduanya. Pada ketika itu orang akan melihat di sebelah kanannya, tidak kelihatan sesuatu kecuali amalan yang dibawanya. Melihat di sebelah kirinya, tidak kelihatan sesuatu kecuali amalan yang dibawanya. Apabila melihat di hadapannya tiada yang lain kecuali api neraka di hadapan wajahnya. Oleh kerana itu, takutilah api neraka walau dengan sebiji kurma yang kering(melalui amalan sedekah) (H.R.Bukhari)

Hadis 149

Dari Aishah r.ha berkata, aku mendengar Rasulullah saw bersabda selepas selesai sembahyang: Wahai Allah! Hisablah aku dengan penghisaban yang mudah. Selepas beredar aku bertanya: Ya Nabiullah! Apakah yang dimaksudkan dengan penghisaban yang mudah? Baginda bersabda: Setiap hamba akan dilihat buku catitan amalnya namun Dia akan berlebih kurang sahaja dalam melihatnya. Wahai Aishah, Pada hari itu jika seorang ditanya itu dan ini, pasti akan binasa. (H.R. Ahmad)

Hadis 150

Dari Abu Said Al-Khudri ra meriwayatkan bahawa beliau telah datang kepada Nabi saw dan bertanya: Ya Rasulullah, khabarkan kepadaku siapakah orang yang lebih kuat untuk berdiri pada hari Kiamat yang mana Allah swt berfirman:


Ertinya:
Pada Hari yang mana manusia akan berdiri di hadapan Tuhannya

Rasulullah saw menjawab; Untuk orang-orang beriman Allah swt memudahkan bagi mereka untuk berdiri pada hari itu seumpama mereka mendirikan sembahyang Fardhunya sahaja. (H.R. Baihaqi, Mishqaatul Masobih).

Hadis 151

Dari Auf bin Malik ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Aku telah didatangi Malaikat dari Tuhanku dan dia telah menawarkan kepadaku samada separuh daripada ummatku memasuki syurga atau memilih syafaat(untuk seluruh umatku). Maka aku memilih syafaat(agar seluruh umat Islam mendapat manfaat daripadanya). Khususnya bagi mereka yang mati dalam keadaan tidak mensyirikkan Allah swt. (H.R Tirmizi)

Hadis 152

Dari Anas bin Malik ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Syafaatku terhadap orang-orang yang melakukan dosa-dosa besar hanyalah khas untuk umatku sahaja(Umat lain tidak berhak mendapatkannya) (H.R Tirmizi)

Hadis 153

Dari Anas bin Malik ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Pada hari Kiamat manusia berlari antara satu sama lain. Maka mereka datang kepada Hadzrat Adam a.s dan berkata: Berilah syafaat untuk kami kepada Tuhanmu. Dia berkata: Aku bukanlah ahliNya, pergilah kamu kepada Nabi Ibrahim a.s. Dia adalah kekasih Allah swt. Kemudian mereka datang kepada Nabi Ibrahim a.s dan beliau berkata: Aku bukanlah ahliNya tetapi kamu pergilah kepada Nabi Musa a.s kerana dialah Nabi yang berkata-kata terus kepada Allah. Mereka berlari kepada Musa a.s dan Nabi Musa a.s berkata: Aku bukanlah ahliNya, pergilah kamu kepada Nabi Isa a.s kerana dia adalah Ruuhullah dan KalimatNya, namun dia juga berkata: Aku bukanlah ahliNya. Pergilah kamu kepada Muhammad saw. Maka mereka datang kepadaku dan aku katakan kepada mereka bahawa akulah yang berhak untuk memberi syafaat. Aku meminta izin kepada Tuhanku dan akhirnya diizinkan. Kemudian Dia mengilhamkan kepadaku untuk memujiNya dan aku memuji dengan pujian dan kalimat-kalimat yang diilhamkanNya. Akhirnya aku bersujud kepadaNya. Maka dikatakan: Wahai Muhammmad, angkatlah kepalamu dan perkatakanlah, permohonanmu akan didengar, mintalah kamu akan diberi. Berilah syafaat! Syafaatmu akan diterima.

Maka aku berkata: Wahai Tuhanku! (Kasihanilah)Umatku!(Kasihanilah)Umatku! Allah swt berfirman: Pergilah, keluarkanlah daripadanya sesiapa sahaja yang mana di dalam hatinya terdapat iman sebesar biji gandum. Maka aku pun pergilah mentaati apa yang telah diperintahkan(mengeluarkan mereka dari api neraka). Kemudian aku mengulangi lagi dengan memuji Allah swt dengan puji-pujian itu, kemudian aku bersujud di hadapanNya. Maka Allah swt berfirman: Wahai Muhammad! Angkatlah kepalamu, katakanlah perkataan mu akan didengar, dan mintalah kamu akan diberi, dan berilah syafaat, syafaat kamu akan diterima.

Maka aku berkata: Wahai Tuhanku! (Kasihanilah)Umatku! (Kasihanilah)Umatku! Allah swt berfirman: Pergilah dan keluarkan daripadanya sesiapa sahaja yang di dalam hatinya terdapat iman walau pun sebesar zarah atau biji sawi. Kemudian aku pun pergilah dan berbuat apa yang diperintahkanNya. Kemudian aku mengulangi lagi dengan puji-pujian itu, k emudian aku akhiri dengan bersujud kepadaNya. Allah swt berfirman: Wahai Muhammad! Angkatlah kepalamu! Perkatakanlah, perkataanmu akan didengar, mintalah kamu akan diberi, dan berilah syafaat, syafaat kamu akan diterima.

Kemudian aku berkata: Wahai Allah! (Kasihanilah) Umat ku! (Kasihanilah) Umatku! Allah swt berfirman: Pergilah dan keluarkanlah sesiapa sahaja yang mempunyai iman di dalam hati mereka lebih kecil, lebih kecil, lebih kecil daripada biji sawi. Keluarkanlah dia daripada api neraka, dari api neraka, dari api neraka. Maka pergilah dan aku lakukan apa yang diperintahkan. Kemudian aku mengulangi pujian-pujian tersebut buat kali yang keempat, kemudian aku akhiri dengan bersujud. Allah swt berfirman: Wahai Muhammad! Angkatlah kepalamu dan katakanlah, perkataanmu akan didengar, dan mintalah kamu akan diberi, dan berilah syafaat, syafaat kamu akan diterima. Kemudian aku berkata: Wahai tuhanku! Izinkanlah aku untuk memberi syafaat kepada mereka yang pernah mengucapkan kalimah La ilaha illallah. Allah berfirman: Demi kehormatanKu, dan kemuliaanKu. Demi kebesaranKu dan demi keagunganKu nescaya akan Ku keluarkan daripada api neraka sesiapa yang pernah mengucap La ilaha illallah. (H.R. Bukhari)

Dalam satu riwayat yang lain: Dari Abu Said Al Khudri ra meriwayatkan bahawa Allah swt berfirman: Para malaikat telah memberi syafaat, nabi-nabi telah memberi syafaat, dan orang-orang mukmin telah memberi syafaat. Tidak tinggal kecuali At Hamarraa-himiin(Allah yang bersifat Penyayang dan Menunjukkan Kasih Sayang). Maka Allah memegang segenggam dari api neraka dan mengeluarkan daripadanya kaumku yang tidak pernah membuat kebaikan selama-lamanya yang telah menjadi arang. Maka dicampakkan kedalam sebuah anak sungai di hadapan pintu syurga yang dikenali sebagai sungai hayat(penghidupan), maka hiduplah mereka seperti benih-benih semaian di tepi sungai yang mengalir yang dipenuhi dengan baja, segar dan subur.

Mereka ini seperti mutiara yang putih bercahaya, dileher mereka terdapat kalung-kalung emas yang dapat dikenal ahli syurga. Mereka itulah orang yang dibebaskan oleh Allah dari api neraka dan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga tanpa amal dan tanpa kebaikan. Kemudian akan dikatakan kepada mereka; Masuklah kamu semua ke dalam syurga. Apa yang kamu lihat itu adalah untuk kamu. Maka mereka semua berkata; Wahai Tuhan kami, Engkau telah memberi kepada kami sesualu yang tidak pernah diberikan kepada sesiapapun di alam ini. Allah berfirman; Bagi kamu di sisiKu ada yang lebih baik dari ini. Mereka semua berkata; Wahai Tuhan kami, apakah sesualu itu yang lebih baik dari ini? Allah berfirman; la adalah KeredhaanKu. Aku tidak akan murka kepadamu selepas ini untuk selama-lamanya. (H.R. Muslim)

Hadis 154

Dari Imran ibn Husain ra meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda: Terdapat satu golongan manusia yang dikeluarkan dari api neraka dengan syafaat Muhammad saw. Maka dimasukkan ke dalam syurga yang dinamakan sebagai "jahannamiyyin"(bekas ahli neraka) (H.R. Bukhari)

Hadis 155

Dari Abi Said ra meriwayatkan bahawasanya Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya daripada kalangan umatku terdapat setengah orang yang diizinkan untuk memberi syafaat kepada kaumnya. Di antara mereka ada yang diberi keizinan untuk memberi syafaat kepada kaumnya dan ada di antara mereka yang diberi keizinan untuk memberi syafaat kepada sekelompok kecil. Dan ada di antara mereka diizinkan untuk memberi syafaat kepada seorang sahaja, sehingga mereka memasuki syurga. (H.R. Tarmizi)

Keterangan:
Usbah atau sekelumpuk kecil ialah satu jemaah yang bilangannya di antara sepuluh hingga empat puluh orang.

Hadis 156

Dari Huzaifah ra dan Abi Hurairah ra(di dalam hadith yang panjang) meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Pada hari kiamat kelak, sifat amanah dan silaturrahmi(akan membentuk) dibawa di sebelah kanan dan kiri titian sirat supaya memberi syafaat kepada orang yang berlebih kurang dengannya dan mengadu orang-orang yang tidak berlebih kurang dengannya. Kemudian akan berlalu orang yang pertama di kalangan kamu pantasnya seperti kilat. Perawi berkata; Aku bertanya; Demi engkau, ibu dan bapaku, aku korbankan, apakah maksudmu mengenai melintas pantas seperti kilat? Baginda Rasulullah saw bersabda: Tidakkah engkau lihat bagaimana kilat berlalu dan kembali semula ke tempatnya dengan sekelip mata? Kemudian (segolongan berikutnya)akan berlalu pantas seperti angin, kemudian seperti burung, kemudian seperti seorang pemuda yang berlari dengan begitu pantas. Pada hakikatnya, kepantasan seseorang itu adalah bergantung kepada amalan mereka dan Nabi kamu akan berdiri di atas titian dan berkata; Wahai Tuhanku, selamatkan dia, selamatkan dia, sehingga ada seorang yang lemah amalannya datang dalam keadaan tidak dapat melintasinya kecuali dengan merangkak. Perawi berkata; Di kedua-dua tepi titian sirat terdapat besi yang membara yang diperintahkan untuk menangkapnya. Setengah manusia disebabkan besi yang panas ini hanya terluka sedikit dan dia berjaya dan sebahagiannya ada yang terjatuh ke dalam timbunan api neraka. Demi Allah yang memegang nyawa Abu Hurairah ra di tanganNya, sesungguhnya kedalaman neraka jahannam itu ialah 70 tahun perjalanan. (H.R. Muslim)

Hadis 157

Dari Anas bin Malik ra meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda: Ketika saya melintasi syurga saya mendapati diri saya di sebuah sungai yang pada kedua tepinya terdapat telaga dari mutiara. Aku bertanya; Apakah ini wahai Jibrail? Dia menjawab; Ini adalah Kautsar yang diberikan kepada mu oleh Tuhanmu. Kemudian saya memperhatikan bahawa tanahnya dicipta dari misk yang harum. (H.R.Bukhari)

Hadis 158

Dari Abdullah Ibn Amr Ibn Al-As ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Bahawa Telagaku Al-Kautsar panjangnya ialah satu bulan perjalanan, yang sudut-sudutnya ialah sama. Airnya lebih jernih daripada perak dan lebih harum daripada misk dan cawan-cawannya lebih daripada bintang-bintang di langit(betapa banyaknya). Barangsiapa yang minum daripadanya tidak akan haus untuk selama-lamanya. (H.R. Muslim)

Keterangan:
Jarak satu bulan perjalanan bahawa ukuran telaga Al-Kautsar begitu luas yang mengambil masa satu bulan perjalanan untuk menyeberanginya.

Hadis 159

Dari Samurah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya bagi setiap nabi ada sebuah telaga. Dan setiap mereka berbangga di antara satu sama lain(yang telaga mereka lebih banyak didatangi) untuk minum daripadanya. Dan aku berharap semoga akulah yang akan didatangi oleh ramai orang. (H.R. Tarmizi)

Hadis 160

Dari Ubadah bin Samit ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Barang siapa bersaksi bahawasanya Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah yang Maha Esa dan Muhammad itu hambaNya dan pesuruhNya dan sesungguhnya Nabi Isa itu hambaNya dan rasulNya dan kalimatNya yang ditiup kepada Hadzrat Maryam a.s dengan roh yang berasal dari Nya. Syurga adalah benar, neraka adalah benar, nescaya akan dimasukkan kedalam syurga walau apa jua keadaan amalannya. Junadah menambah dari hadith ini katanya: Syurga mempunyai lapan pintu syurga dan boieh masuk dari mana-mana pintu syurga yang dia kehendaki. (H.R. Bukhari)

8
9
10