Muntahkab Hadis - Bab Iman

 

Hadis 181

Dari Ibn Abbas ra meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda: Islam itu ialah kamu menyerahkan diri kamu sepenuhnya, (dari segi akidah dan amal)kepada Allah swt(dari hati dan lidah) kamu bersaksi bahawasanya tiada Tuhan yang Iayak disembah melainkan Allah swt dan Muhammad itu hambaNya dan pesuruhNya, dan mendirikan sembahyang dan membayar zakat. (H.R. Ahmad)

Hadis 182

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa satu ketika seorang badwi telah datang menemui Rasulullah saw dan berkata; Tunjukkanlah kepadaku satu amalan, apabila aku mengamalkannya akan masuk ke syurga. Baginda saw bersabda: Sembahlah Allah dan janganlah kamu mensyirikkan sesuatu denganNya. Dirikanlah sembahyang yang fardhu dan keluarkanlah zakat yang diwajibkan dan berpuasalah di bulan Ramadhan. Berkata orang badwi; Demi yang nyawaku di tanganNya, aku tidak akan menambah lebih daripadanya. Apabila dia berlalu, bersabda Nabi saw: Barangsiapa yang mahu melihat lelaki daripada ahli syurga, lihatlah orang ini. (H.R. Bukhari)

Hadis 183

Dari Talhah ibn Ubaidillah ra meriwayatkan bahawa telah datang seorang lelaki kepada Nabi saw daripada ahli Najd dalam keadaan rambutnya yang kusut masai. Kami mendengar suaranya tetapi tidak memahami kerana jarak yang jauh sehingga beliau menghampiri Rasulullah saw dan bertanya mengenai Islam. Rasulullah saw menjawab: Sembahyang lima waktu sehari semalam. Lelaki itu bertanya lagi; Adakah sembahyang-sembahyang fardhu yang lain selain daripada ini untukku? Sabda Nabi saw: Tiada, tetapi sekiranya kamu mahu bersembahyang sunat, boleh kamu lakukan. Kemudian Rasulullah saw bersabda: Berpuasa di bulan Ramadhan. Lelaki itu bertanya; Adakah puasa-puasa fardhu lain ke atasku? Baginda saw menjawab: Tidak, kecuali puasa-puasa sunat. Kemudian Rasulullah saw menerangkan kepadanya tentang zakat. Lelaki itu bertanya juga; Adakah selain daripada zakat sedekah-sedekah yang difardhukan ke atasku? Baginda Rasulullah saw menjawab: Tidak, kecuali sedekah-sedekah sunat yang ingin kamu lakukan. Perawi berkata; Maka kembalilah lelaki itu sambil berkata; Demi Allah swt aku tidak akan menambah lebih daripada ini dan aku tidak akan menguranginya. Rasulullah bersabda; Berjayalah dia kalau dia berkata benar. (H.R. Bukhari)

Hadis 184

Dari Ubadah ibn Samit ra meriwayatkan Rasulullah saw bersabda kepada sahabat-sahabat yang berada di sekelilingnya: Berbaiatlah kamu kepadaku, bahawasanya kamu tidak akan menyengutukan Allah swt dengan sesuatu dan janganlah kamu mencuri dan janganlah kamu berzina dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu(kerana takut kemiskinan), dan janganlah kamu memfitnah seseorang dengan sengaja dan mengingkari perintah-perintah syariat dalam agama. Barangsiapa memenuhi perjanjiannya, pahalanya akan menjadi tanggungjawab Allah swt dan barangsiapa yang melakukan dosa-dosa tersebut(kecuali syirik) dia akan mendapat hukuman di dunia(seperti hukuman had) yang dengannya menjadi kifarah kepada dosa-dosanya dan barangsiapa yang melakukan dosa-dosa tersebut kemudian Allah swt menutupinya(di dunia dia tidak dihukum) maka terpulang kepada Allah swt sekiranya Allah swt mahu mengampuninya dan sekiranya mahu, Allah swt akan menyiksanya. (Hadzrat Ubadah berkata)Lantas kami semua berbaiat atas perkara-perkara tersebut. (H.R. Bukhari)

Hadis 185

Dari Muaz ra berkata; Aku telah diwasiatkan oleh Rasulullah saw dengan sepuluh perkara, jangan mensyirikkan Allah swt dengan sesuatu samada kamu dibunuh atau dibakar hidup-hidup. Jangan kamu menderhakai kedua ibubapa walaupun dia memerintahkan kamu untuk menceraikan isterimu dan membelanjakan seluruh hartamu. Jangan kamu meninggalkan sembahyang fardhu dengan sengaja kerana barangsiapa yang meninggalkan sembahyang fardhu dengan sengaja maka sesungguhnya terlepaslah dia dari segala tanggungjawab Allah dan janganlah kamu meminum minuman keras kerana ia adalah punca dari segala kejahatan. Dan janganlah kamu mendurhakai Allah swt kerana menyebabkan kemurkaan Allah swt dan janganlah kamu lari dari medan peperangan walaupun semua sahabat-sahabat kamu gugur dan apabila tempat kamu ditimpa wabak merebak, manusia mati kerananya sedangkan kamu berada di tempat itu maka tetaplah tinggal di kediaman kamu dan berbelanjalah kepada ahli keluarga kamu mengikut kemampuan kamu dan janganlah kamu meninggalkan kayu(rotan) dalam membesarkan mereka dengan adab dan tarbiah yang baik dan jadikanlah mereka takut kepada Allah. (H.R. Bukhari)

Keterangan;
Mengenai hadith ketaatan kepada kedua ibubapa sebagaimana hadith di atas, ini adalah darjat ketaatan yang paling tinggi sebagaimana dalam hadith yang sama, "jangan kamu mensyirikkan Allah swt dengan sesuatu walaupun kamu dibunuh ataupun dibakar hidup-hidup", ini satu darjat keimanan yang tinggi walaupun dalam(darurat) seperti keadaan ini seseorang itu dibolehkan mengucapkan kalimah kufur di lidahnya sedangkan di hatinya tetap beriman kepada Allah . (Mirqat)

Hadis 186

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda: Barangsiapa beriman kepada Allah swt dan rasulNya dan mendirikan sembahyang dan berpuasa di bulan Ramadhan adalah menjadi hak Allah swt untuk memasukkannya ke dalam syurga samada dia berjihad di Jalan Allah swt atau dia duduk di bumi di tempaL mana dia dilahirkan. Maka sahabat-sahabat berkata; Wahai Rasulullah saw, tidakkah kami khabarkan berita gembira ini kepada orang ramai? Nabi saw bersabda: (Jangan)Kerana sesungguhnya syurga mempunyai seratus darjat yang Allah swt sediakan bagi orang yang berjihad di Jalan Allah swt yang mana dua darjat sahaja, jaraknya ialah antara langit dan bumi. Apabila kamu memohon syurga, mohonlah syurga Firdaus kerana ia adalah syurga yang terbaik dan kedudukan yang tertinggi. Di atasnya terdapat arasy Ar-Rahman dan daripadanya juga berpuncanya sungai-sungai dalam syurga. (H.R. Bukhari)

Hadis 187

Dari Abu Darda ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Barangsiapa yang membawa lima perkara bersama dengan iman(menemui Allah swt), dia akan dimasukkan ke dalam syurga. Barangsiapa yang menjaga sembahyangnya lima waktu dengan istiqamah dengan wudhuknya dan rukuknya dan sujudnya dengan sempurna, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke Baitullah bagi mereka yang berkemampuan dan mengeluarkan zakat dengan senang hati dan menunaikan amanah. Di tanya orang; Ya Rasulullah saw, Apakah maksud menunaikan amanah? Baginda menjawab: Bersuci dari janabah(mandi sesudah hadas besar) kerana Allah swt tidak memberi amanah kepada anak Adam atas sesuatu amalan dari agamanya kecuali bersuci dari janabah (melalui mandi janabah ini terdapat satu amalan yang tersembunyi di dalamnya kerana dengannya membentuk satu ketakutan kepada Allah swt (H.R. Tabrani)

Hadis 188

Dari Fudhalah ibn Ubaid Al Ansari ra meriwayatkan; Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: Aku bertanggugjawab untuk menempatkan sesiapa yang beriman kepadaku, mentaatiku dan berhijrah untuk mendapatkan sebuah rumah di pinggir syurga dan sebuah rumah di tengah-tengah syurga, dan aku bertanggungjawab kepada mereka yang beriman kepadaku dan mentaatiku dan berjihad di Jalan Allah dengan sebuah rumah di pinggir syurga dan sebuah rumah di tengah-tengah syurga dan sebuah rumah di puncak syurga. Barangsiapa yang berbuat demikian sesungguhnya telah memperolehi kebaikan dari segala sesuatu yang dituntut dan dia terhindar daripada semua bentuk kejahatan. Sekarang bila-bila masa maut boleh datang(Dia berhak untuk memasuki syurga). (H.R. Ibn Hiban).

Hadis 189

Dari Muaz bin Jabal ra berkata; Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: Barangsiapa yang bertemu dengan Allah swt dengan tidak melakukan syirik dan bersembahyang lima waktu dan puasa di bulan Ramadhan diampuni akan dosa-dosanya. (H.R. Ahmad)

Hadis 190

Dari Abu Hurairah ra berkata; Rasulullah saw bersabda: Barangsiapa bertemu Allah swt dengan tidak melakukan syirik dengan sesuatu dan mengeluarkan zakat hartanya dengan senang hati dengan niat untuk mendapatkan ganjaran, mendengar dan mentaati(imam bagi orang-orang Islam) maka baginya syurga. (H.R. Ahmad)

Hadis 191

Dari Fudhalah ibn Ubaid ra meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda: Seorang mujahid itu ialah orang yang berjihad ke atas dirinya sendiri iaitu berjihad daripada mengikuti hawa nafsu yang bertentangan(dengan agama) (H.R. Tarmizi)

Hadis 192

Dari Utbah ibn A'bdi ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Walaupun seseorang itu sentiasa menghadapkan wajahnya kepada Allah(sujud) daripada hari dia dilahirkan sehinggalah hari kematiannya dalam meredhakan Allah swt walaupun amal yang sedemikian dia akan merasai kurang pada hari Kiamat. (H.R. Musnad Ahmad)

Hadis 193

Dari Abdullah ibn A'mr ra berkata; Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: Barangsiapa yang berdoa kepada Allah swt, Allah swt akan memasukkannya di kalangan orang-orang yang bersyukur dan bersabar dan barangsiapa yang tidak berdoa dengan doa ini, Allah swt tidak akan menuliskan di kalangan orang-orang yang bersyukur dan bersabar. Dan barangsiapa yang melihat seseorang yang lebih baik dari segi agamanya dan dia mengikutinya, dan mengenai perkara dunia dia melihat orang yang lebih rendah daripadanya dan dalam keadaan i tu dia bersyukur kepada Allah swt(dengan kurniaan dan limpah Rahim Allah swt), Allah swt akan meletakkannya di kalangan orang-orang yang terbaik dan akan menuliskannya di kalangan orang-orang yang bersyukur dan bersabar dan barangsiapa yang melihat kepada orang yang kurang agamanya dan melihat orang yang lebih dari segi dunianya dan sentiasa mengeluh dalam memperolehi dunianya yang kurang, maka Allah swt tidak akan menggolongkannya di kalangan orang yang bersabar dan di kalangan orang yang bersyukur. (H.R. Tarmizi)

Hadis 194

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Dunia ialah penjara bagi orang-orang mukmin dan syurga bagi orang-orang kafir. (HR. Muslim)

Keterangan:
Oleh kerana berbagai kenikmatan telah disediakan untuk orang mukmin di syurga maka kerana itu kehidupan dunia ini umpama penjara untuk mereka. Begitu pula orang-orang kafir oleh kerana dia akan diazab selama-lamanya di dalam neraka maka kerana itu kehidupan dunia ini adalah umpama syurga untuk mereka.

Hadis 195

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Apabila harta ghanimah dianggap sebagai hartanya sendiri dan amanah yang diberikan dianggap sebagai miliknya, yang sepatutnya disampaikan kepada yang berhak dipakai umpama haknya sendiri. Zakat dianggap sebagai wang tebusan yang sepatutnya dikeluarkan dengan perasaan gembira tetapi dikeluarkan dengan dukacita. Ilmu dipelajari bukan untuk agama tetapi untuk kepentingan dunia. Suami mentaati isteri dan tidak mentaati ibunya. Kawan dirapatinya tetapi bapa dijauhinya. Masjid-masjid dijadikan tempat bising secara terbuka. Pemimpin masyarakat terdiri dari orang fasik. Kumpulan yang paling hina menjadi pemimpin. Orang akan dimuliakan kerana takut dan kerana menghindari dari kejahatannya. Zahirnya penyanyi-penyanyi wanita dan muzik lebih digemari. Minuman-minuman arak menjadi kebiasaan. Umma(generasi) yang kemudian mencaci dan memburuk-burukkan ummat yang terdahulu. (Ingatlah!)ketika itu akan berlaku angin merah, gempa bumi, bumi akan tenggelam, kecacatan pada wajah-wajah manusia akan berlaku, dan daripada langit turunnya hujan batu. Dan berbagai penyakit akan terus datang satu persatu seumpama manik-manik yang terputus benangnya jatuh satu-persatu dengan laju. (H.R. Tirmizi)

Hadis 196

Dari Uqbah ibn Amir ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya perumpamaan bagi orang yang melakukan keburukan kemudian melakukan kebaikan ialah seperti seorang yang memakai baju besi yang sempit lalu tercekik. Kemudian dia melakukan kebaikan yang menyebabkan sambungan baju itu longgar, kebaikan yang dilakukan seterusnya menyebabkan ia bertambah longgar dan akhirnya akan terlucut ke tanah. (H.R. Ahmad)

Hadis 197

Dari Abdullah ibn Abbas ra meriwayatkan bahawa baginda saw bersabda: Apabila berlaku pengkhianatan dalam harta ghanimah(harta rampasan perang) pada satu kaum, Allah swt akan meletakkan rasa takut terhadap musuh di dalam hati mereka dan apabila penzinaan banyak berlaku maka kematian akan menjadi umum dan apabila mereka mengurangi sukatan atau timbangan, maka rezekinya akan diangkat(keberkatan rezeki dihapuskan). Dan apabila tidak ada keadilan dalam membuat pengadilan, maka pertumpahan darah akan tersebar dan apabila janji-janji dilanggar, maka akan ditimpakan ke atasnya musuh-musuh. (H.R. Muwatta' Imam Malik)

Hadis 198

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan, sesungguhnya dia telah mendengar seorang lelaki berkata; Sesungguhnya orang yang berlaku zalim, tidak akan memberi mudharat kepada orang lain kecuali kepada dirinya sendiri(dengan perkataan itu). Abu Hurairah berkata; Bahkan! (Benar katamu)Demi Allah swt! Sehingga burung-burung akan mati kerananya, menjadi kurus dan mati di dalam sarangnya kerana kekejaman orang yang zalim. (H.R. Baihaki)

Hadis 199

Dari Samurah ibn Jundub ra meriwayatkan Rasulullah saw seringkali bertanya kepada sahabat-sahabatnya: Adakah seseorang daripada kamu bermimpi? Maka salah seorang di antara mereka akan menceritakan mimpinya dan Rasulullah saw akan menjelaskannya. Suatu pagi Rasulullah saw bersabda: Malam tadi dua orang datang kepadaku(dalam mimpi) dan membangunkan aku dan berkata; Pergilah bersama dengan kami. Aku berangkat bersama mereka dan kami melintasi seorang lelaki yang berbaring dan seorang lagi berdiri di sebelah atas kepalanya, dia memegang batu yang besar dan dia menghempaskan batu itu kepada lelaki(yang sedang berbaring itu) sehingga batu itu menghancurkan kepalanya.

Batu itu terlempar jauh. Sebelum batu itu sampai, kepala itu menjadi seperti sediakala. Pelempar itu melakukan hal yang sama sebagaimana dia telah lakukan sebelumnya. Dengan rasa hairan saya bertanya kepada kedua orang itu: Subhaanallah! Siapakah kedua orang ini? Mereka berkata; Mari kita berjalan terus! Maka kami meneruskan perjalanan sehingga kami datang kepada seorang lelaki yang sedang tidur terlentang di atas katilnya, dan seorang lelaki yang lain berdiri di sebelahnya dengan sebatang paku besi dan dia meletakkan paku itu dari satu sisi mulut lelaki itu, maka merobek pipi salah satu daripada mukanya, hidungnya dan matanya sampai ke tengkuk dan demikian pula dia melakukan hal yang sama pada sebelah yang lain.

Ketika dia mencarik-carik salah satu bahagian dari muka orang itu, bahagian yang lain telah kembali pulih, kemudian dia kembali kepada bahagian yang pertama untuk mengulanginya. Saya bertanya kepada kedua orang itu: Subhaanallah! Siapakah kedua orang ini? Mereka berkata; Mari kita berjalan terus! Kemudian kami meneruskan perjalanan dan kami sampai pada sesuatu seperti tannur(sebuah lubang seperti tempayan yang biasanya dibuat dari tanah untuk membakar roti). Rasulullah saw bersabda; Dalam tempayan itu terdengar suara tangisan dan jeritan. Kami melihat ke dalamnya dan mendapati lelaki dan wanita dalam keadaan telanjang dan nyala api yang membakar dari bawah. Dan apabila api itu sampai kepada mereka, mereka menjerit dengan suara yang kuat. Aku bertanya kepada mereka: Siapakah mereka ini? Mereka meminta aku untuk berjalan terus! maka kami meneruskan perjalanan sehingga kami sampai ke sebuah sungai yang berwarna merah seperti darah.

Rasulullah saw menambahkan: Dan sesungguhnya dalam sungai itu ada seorang lelaki yang sedang berenang dan di tebingnya ada lelaki yang sudah mengumpulkan batu-batu. Lelaki yang berenang itu datang kepada lelaki itu lalu membuka mulutnya dan orang yang berada di tebing sungai itu melemparkan batu ke dalam mulutnya, kemudian dia pergi dan berenang kembali. Dia kembali dan setiap kali sampai diulangi lagi perbuatan itu. Aku bertanya kepada kedua sahabatku: Siapakah mereka ini? Mereka berkata kepadaku; Teruskan, teruskan.

Maka kami meneruskan perjalanan sehingga kami sampai pada seorang lelaki dengan wajah yang hodoh, wajah yang hodoh yang tidak pernah kulihat. Selain dia, ada api dan dia sedang dinyalakannya dan dia berlari mengelilingi api itu. Aku bertanya kepada sahabat-sahabatku: Siapakah orang ini? Mereka berkata kepadaku; Teruskan, teruskan. Maka kami meneruskan perjalanan kami sehingga sampai pada sebuah taman yang hijau daunnya sangat lebat yang memiliki warna dari semua sumber. Di tengah-tengah kebun itu ada seorang lelaki yang sangat tinggi dan amat sukar untuk melihat kepalanya kerana sangat tingginya dan di sekelilingnya ada kanak-kanak yang ramai yang tidak pernah aku lihat sesuatu seperti itu. Aku bertanya kepada sahabat-sahabatku: Siapakah orang ini? Mereka menjawab; Teruskan, teruskan.

Maka kami meneruskan perjalanan sehingga kami sampai pada sebuah taman yang sangat anggun, lebih besar dan lebih cantik daripada yang pernah aku lihat. Kedua sahabat ku berkata kepadaku; Pergilah dan naiklah. Maka kami naik sehingga kami sampai ke sebuah kota yang diperbuat dari emas dan batu-batanya dari emas dan perak. Maka kami pergi ke gerbangnya dan pintunya terbuka, maka kami masuk ke dalam kota itu dan kami mendapatkan di dalamnya lelaki dengan separuh badannya sangat tampan sebagaimana orang yang sangat tampan yang pernah kamu lihat, dan separuh dari badannya sangat hodoh yang tidak pernah kamu lihat orang sehodoh itu.

Kedua sahabatku memerintahkan orang-orang ini untuk terjun ke dalam sungai itu(sebuah sungai yang mengalir) yang airnya putih seperti susu. Orang-orang itu pergi dan mencelupkan badannya ke dalam sungai itu kemudian kembali kepada kami dengan rupa yang tampan(keseluruhannya). Rasulullah saw menambah: Kedua sahabat-sahabatku kemudian sambil menunjuk berkata kepadaku; Itulah tempat untuk kamu, iaitu Jannatul Adn. Aku mengangkat pandanganku dan sesungguhnya aku melihat di sana sebuah mahligai seperti awan putih. Kemudian sahabatku berkata kepadaku; lstana itu adalah kepunyaanmu. "Aku berkata kepada mereka:


Ertinya:
Semoga Allah memberkati kamu berdua.

lzinkan aku untuk masuk ke dalamnya. Mereka menjawab; Bukan sekarang, tetapi engkau akan memasukinya(pada suatu hari). Aku berkata kepada mereka: Aku telah melihat banyak kejadian pada malam ini, apakah maksud dari semua ini? Mereka menjawab; Kami akan memberitahu kamu. Peristiwa orang pertama yang kamu Ialui, kepalanya sedang dilempari dengan batu, dia adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan kemudian tidak membacanya atau tidak beramal dengan perintah-perintahnya dan tidur tanpa mengerjakan sembahyang. Dan bagi orang yang kamu lalui ke atasnya kedua sisi mulutnya, hidung dan matanya dikoyak dari depan ke belakang, dia adalah lelaki yang keluar dari rumahnya pada waktu pagi dan menyebarkan kebohongan-kebohongan ke seluruh dunia. Dan lelaki dan perempuan yang telanjang itu yang kamu lihat dalam tempayan pembakar roti adalah penzina lelaki dan perempuan. Lelaki yang engkau lihat sedang berenang di sungai dan yang diberikan batu untuk ditelan adalah pemakan riba dan lelaki yang kelihatan hodoh yang kamu lihat dekat api yang sedang dinyalakannya dan mengelilinginya itu adalah Malik(penjaga neraka), dan lelaki yang tinggi yang engkau melihatnya dalam taman adalah Nabi Ibrahim as. Dan anak-anak yang mengelilinginya adalah anak-anak yang mati dalam keadaan fitrah. Periwayat berkata; Sebahagian sahabat bertanya kepada Nabi saw; Wahai Rasulullah saw, bagaimanakah dengan anak-anak orang musyrikin? Baginda saw bersabda: Anak-anak orang musyrikin pun(begitu) juga. Rasulullah saw menambahkan: Orang yang engkau lihat separuh tampan dan separuh jelek, adalah orang-orang yang bersama dengan amalan-amalan baik, memiliki juga amalan-amalan yang buruk, akan tetapi Allah mengampuni mereka. (H.R. Bukhari)

Hadis 200

Dari Abu Zar ra darl Abu Darda ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya aku mengenal ummatku di kalangan sekelian ummat pada hari Kiamat. Para sahabat bertanya; Ya Rasulullah, bagaimanakah tuan akan mengenali ummat tuan? Baginda saw menjawab: Aku mengenalinya kerana mereka diberi buku catitan amal dengan tangan kanannya dan aku mengenali mereka pada tanda-tanda di wajah-wajah mereka daripada kesan-kesan sujud dan aku mengenali mereka dengan cahaya di hadapan mereka dengan keadaan mereka berlari-lari ke hadapan. (H.R. Musnad Ahmad)

Keterangan:
Nur ini ialah cahaya iman bagi setiap mukmin dan cahaya ini bergantung kepada kuatnya iman seseorang itu. (Kasyfur Rahman)

8
9
10