Muntahkab Ahadis - Bab Solat

Hadis 001

Dari Abdullah bin Umar ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Islam di asas atas lima tiang: Bersaksi bahawasanya tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah swt dan bersaksi bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah swt, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan. (HR Bukhari)

Hadis 002

Dari Jubair bin Nufair r.alaih meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Aku tidak diperintahkan untuk mengumpul harta dan menjadi seorang peniaga tetapi aku diperintahkan untuk: Bertasbih dan bertahmidlah kepada Tuhan kamu dan jadilah kamu di kalangan orang-orang yang sentiasa bersujud dan sembahlah Tuhanmu sehingga datangnya kematianmu. (Syarah Sunnah-Mishkatul Masabih)

Hadis 003

Dari Abdulah bin Umar ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Jibrail(dengan menyerupai seorang manusia) telah datang kepada Nabi saw dan bertanya tentang Islam. Baginda Rasulullah saw menjawab: Islam ialah kamu(dengan hati dan lidah) bersaksi bahawasanya tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah swt dan bersaksi bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah swt, mendirikan sembahyang, keluarkanlah zakat, tunaikanlah Haji dan Umrah, mandilah untuk bersuci dari jenabah, sempurnakanlah bersuci dengan wudhu' dan berpuasalah kamu di bulan Ramadhan.

Hadzrat Jibrail as bertanya: Kalau aku menyempurnakan amal-amal tersebut adakah aku telah Islam? Baginda saw menjawab: Ya! Hadzrat Jibrail as berkata: Tuan telah bercakap benar. (HR lbn Khuzaimah)

Hadis 004

Dari Qurrah Ibn Dakmus ra meriwayatkan bahawa kami telah bertemu Nabi saw ketika di Hajjatul Wadak(Haji yang terakhir) maka kami bertanya; Wahai Rasulullah! Apakah yang akan Tuan wasiatkan kepada kami? Baginda saw bersabda: Aku berwasiat kepada kamu supaya mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji di Baitullah dan kamu berpuasa di bulan Ramadhan. Sesungguhnya di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Dan diharamkan bagi kamu membunuh orang-orang Islam dan kafir Zimmi(orang-orang kafir yang telah membuat perjanjian) dan diharamkan merampas harta-harta mereka. Kecuali mereka melakukan ketabahan dan dihukum mengikut perintah-perintah Allah swt. Dan aku berwasiat kepadamu supaya berpegang teguhlah dengan ketaatan kepada Allah swt iaitu melaksanakan kerja-kerja agama dengan penuh ketabahan dan hindarkanlah diri daripada kerja-kerja yang menjauhkan kegembiraan dan keredhaan Allah swt. (HR Baihaki)

Hadis 005

Dari Jabir bin Abdullah ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Kunci syurga ialah sembahyang dan kunci sembahyang ialah wudhuk. (HR. Musnad Ahmad)

Hadis 006

Dari Anas ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Sejuk pandangan mataku ialah di dalam bersembahyang. (HR Nasal)

Hadis 007

Dari Umar ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Sembahyang ialah tiang agama. (HR Abu Nuaim)

Hadis 008

Dari Ali ra meriwayatkan bahawa di akhir kalam Baginda Rasulullah saw ialah dengan berwasiat; Sembahyang! Sembahyang! Jagalah hamba-hamba sahaya kamu dan orang-orang yang di bawah kamu. (HR Abu Daud)

Hadis 009

Dari Abu Umamah ra meriwayatkan bahawa ketika Nabi saw kembali dari Khaibar dan bersamanya membawa dua orang hamba. Ali ra berkata; Ya Rasulullah! Berilah kepadaku seorang hamba untuk berkhidmat kepadaku. Rasulullah saw bersabda; Ini ada dua orang hamba, pilihlah mana satu yang kamu sukai. Ali ra menjawab; Pilihkanlah untukku Ya Rasulullah! (dengan menunjuk kepada salah seorang hamba)Baginda saw bersabda; Ambillah yang ini tetapi janganlah kamu memukulnya. Sesungguhnya aku melihat dia bersembahyang ketika pulang dari Khaibar. Dan aku ditegah dari memukul orang-orang yang bersembahyang. (HR Musnad Ahmad, Tabrani)

Hadis 010

Dari Ubadah bin Samith ra berkata aku mendengar Baginda Rasulullah saw bersabda; Allah swt mewajibkan sembahyang lima waktu, barangsiapa yang mendirikannya dengan wudhu' yang sempurna dan mendirikannya pada tepat waktunya, menyempurnakan rukuknya dan sujudnya dengan penuh khusyuk maka Allah swt berjanji untuk memberi keampunan untuknya. Barangsiapa tidak bersembahyang pada waktunya dan tidak ada kekhusyukan di dalamnya maka tidak ada perjanjian ini untuknya. Sekiranya mahu dia diampuniNya dan sekiranya mahu dia akan disiksaNya. (HR Abu Daud)

Hadis 011

Dari Hanzalah Al Usaidi ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda; Barangsiapa yang menjaga sembahyang fardhunya lima waktu dengan wudhu' dan tepat pada waktunya dengan sempurna, dengan menyempurnakan rukuk dan sujudnya dan menganggapnya sebagai hak Allah swt diharamkan ke atasnya api neraka. (HR Musnad Ahmad)

Hadis 012

Dari Abu Qatadah ibn Ruba'i ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda; Allah swt berfirman; Sesungguhnya Aku telah memfardhukan ke atas ummatku sembahyang lima waktu dan Aku telah berjanji kepada diriKu barangsiapa menjaga sembahyangnya pada tepat waktunya, Aku akan memasukkannya ke dalam syurga dan barangsiapa yang tidak menjaga sembahyangnya, maka tidak ada perjanjian baginya di sisiKu. (HR Abu Daud)

Hadis 013

Dari Uthman ibn Affan ra meriwayatkan; Bahawa Rasulullah swt bersabda; Barangsiapa yang menganggap bahawa sembahyang itu benar, dia akan dimasukkan ke dalam syurga. (HR Musnad Ahmad)

Hadis 014

Dari Abdullah ibn Qurtd ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda; Perkara pertama yang akan dihisab bagi seorang hamba pada hari Kiamat ialah sembahyang. Sekiranya sembahyangnya baik, maka amalan-amalan yang lain akan diterima dan jika sembahyangnya rosak, maka semua amalan-amalan yang lain akan rosak. (HR Tabrani, Targhib)

Hadis 015

Dari Jabir berkata telah berkata seorang lelaki kepada Nabi saw; Sesungguhnya seorang(pada waktu malam) bersembahyang, tetapi pada waktu paginya dia mencuri. Nabi saw bersabda; Tidak lama lagi sembahyangnya akan menegahnya daripada perbuatan buruk itu. (HR Al Bazzar, Majmaa uz Zawaaid)

Hadis 016

Dari Salman ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Seorang Islam apabila berwudhu' dengan sempurna dan mendirikan sembahyang lima waktu, maka akan gugur dosa-dosanya sebagaimana daun-daun ini gugur. Kemudian Baginda Rasulullah membaca ayat; Terjemahan; Dan dirikanlah sembahyang pada kedua tepi siang dan beberapa masa pada waktu malam, sesungguhnya perbuatan baik itu menghapuskan buruk. Inilah peringatan(nasihat) bagi orang-orang yang mahu berfikir. (Surah Huud ayat 114) (HR Musnad Ahmad)

Keterangan:
Sebahagian ulama menafsirkan bahawa pada kedua tepi siang dan beberapa masa pada waktu malam memberi maksud masa itu terbahagi kepada dua bahagian; Bahagian pertama ialah sembahyang Subuh dan bahagian kedua ialah Zohor dan Asar. Yang dimaksudkan malam itu ialah sembahyang Maghrib dan Isyak. (Tafsir Ibn Kathir)

Hadis 017

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Di antara sembahyang-sembahyang lima waktu, sembahyang Jumaat hingga Jumaat akan datang, puasa Ramadhan sehingga Ramadhan akan datang mengampunkan dosa-dosa di antara waktu-waktu itu selagi dia menghindarkan diri dari dosa-dosa besar. (HR Muslim)

Hadis 018

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda: Barangsiapa menjaga sembahyang fardhunya(dengan istiqamah), tidak akan digolongkan di kalangan orang-orang yang lalai(dari beribadat kepada Allah). (HR Ibn Khuzaimah)

Hadis 019

Dari Abdullah ibn Umar ra meriwayatkan suatu hari Nabi saw bersabda tentang sembahyang bahawa; Barangsiapa menjaga sembahyang fardhunya tepat pada waktunya, pada hari Kiamat nanti akan menjadi Nur kepada orang yang mengerjakannya, menjadi penghujah bagi pihaknya dan menjadi penyelamatnya. Sebaliknya tidak ada nur, pembela dan penyelamat bagi orang yang tidak menjaga sembahyangnya dan pada hari Kiamat mereka akan digolongkan bersama Firaun, Haman dan Ubai bin Khalaf. (HR Ahmad dan Tabrani)

Hadis 020

Dari Abi Malik Al-Asjaie' ra meriwayatkan bahawa ketika di zaman Baginda Rasulullah saw apabila ada seseorang memeluk agama Islam pertama kali yang akan diajar(oleh para sahabat) ialah sembahyang. (HR Tabrani)