Muntahkab Ahadis - Bab Solat

Hadis 061

Dari Uqbah ibn Amir ra berkata; Aku mendengar Rasulullah saw bersabda; Tuhanmu akan merasa takjub(dan berbangga) ke atas seorang pengembala kambing yang melaungkan azan di atas puncak sebuah bukit dan mengerjakan sembahyang. Allah swt menyeru kepada para malaikat: Lihatlah hambaKu ini, dia melaungkan azan dan bersembahyang semata-mata kerana takut kepadaKu sesungguhnya Aku telah mengampuni akan hambaKu dan akan memasukkannya ke dalam syurga. (HR Abu Daud)

Hadis 062

Dari Sahal ibn Saad ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda; Dua doa yang tidak akan ditolak oleh Allah iaitu pada waktu azan dilaungkan dan ketika sengitnya peperangan bermula. (HR Abu Daud)

Hadis 063

Dari Saad ibn Abi Waqqas ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda; Barangsiapa yang mendengar seruan azan kemudian dia membaca

Ertinya: Aku bersaksi bahawa tiada yang layak disembah kecuali Allah. Dialah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan bahawa Muhammad adalah hambaNya dan RasulNya dan Aku redha bahawa Allah adalah Rabb dan Muhammad sebagai Rasul dan Islam sebagai agamaku.

Maka dosa-dosanya akan diampuni. (HR Muslim)

Hadis 064

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan kami sedang berada bersama Rasulullah saw maka Bilal ra berdiri melaungkan azan. Satelah selesai azan, Rasulullah saw bersabda; Barangsiapa mengatakan dengan yakin seperti itu(seperti yang diseru) akan memasuki syurga. (HR Hakim)

Keterangan:
Dari riwayat ini terlihat bahawa dalam menjawab kepada azan, seorang harus mengulangi perkataan-perkataan muazzin dengan lafaz-lafaz yang sama. Meskipun demikian ada riwayat dari Umar ra yang menjelaskan bahawa dalam menjawab kepada Hayya A'lassolaah Hayya A'lal Falaah, maka seorang boleh mengucapkan Laahaula walaa quwwata illaa billaah(Tidak ada daya dan kekuatan untuk melakukan yang baik atau melindungi diriku dari kejahatan kecuali dengan kuasa Allah). (HR Muslim)

Hadis 065

Dari Abdullah ibn Amr ra meriwayatkan bahawa seorang bertanya Wahai Rasulullah saw, sesungguhnya muazzin telah melebihi kami(dalam kebaikan dan ganjaran, apakah satu amal yang mana kami dapat kelebihan sebagaimana orang yang azan?) Rasulullah saw menjawab; Ulangilah apa yang mereka(muazzin) serukan(dalam azan). Kemudian apabila kamu telah selesai(menjawab azan) mintalah dari Allah dan engkau akan diberi apa yang engkau hajatkan. (HR Abu Daud)

Hadis 066

Dari Abdullah ibn Amr ibn Al'as ra meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah saw bersabda; Apabila engkau mendengar muazzin(melaungkan azan), ulangilah apa yang dia serukan, kemudian kirimkanlan salawat ke atasku, kerana sesungguhnya barangsiapa yang mengirim satu salawat ke atasku, Allah swt akan membalas kepadanya 10 rahmat. Kemudian mintalah kepada Allah swt untuk mendapat wasilah, kerana wasilah(perantaraan syafaat) ini mempunyai kedudukan yang istimewa di dalam syurga yang hanya diberikan kepada seorang hamba di antara hamba-hamba Allah swt yang khas. Dan aku berharap hamba itu ialah aku. Oleh itu, barangsiapa yang berdoa kepada Allah untuk menjadikan aku sebagai wasilah, maka wajib ke atasku untuk mensyafaatinya. (HR Muslim)

Hadis 067

Dari Jabir ibn Abdullah ra meriwayatkan bahwa Rasulullah saw bersabda; Barangsiapa yang mendengar suara azan membaca:

Ertinya: Wahai Tuhanku yang mempunyai seruan yang sempurna ini dan sembahyang yang akan didirikan, berilah dengan limpah kurniaMu kepada Muhammad, wasilah(kedudukan yang paling tinggi dalam syurga) dan keutamaan dan limpahkanlah kepadanya maqam yang terpuji yang telah Engkau janjikan, kerana sesungguhnya Engkau tidak pernah memungkiri janji.

Maka menjadi wajib ke atasku untuk memberi syafaat kepadanya pada hari Kiamat. (HR Bukhari dan Baihaqi)

Hadis 068

Dari Jabir ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda; Barangsiapa yang membaca ketika muazzin menyerukan azan:

Ertinya: Wahai Allah! Tuhan kepada seruan yang sempurna dan Yang Memiliki solat yang sangat berfaedah, curahkanlah rahmatMu kepada Muhammad dan Engkau redhalah kepadanya sehingga Engkau tidak akan murka kepadanya lagi.

Maka Allah swt akan menerima doanya. (HR Musnad Ahmad)

Hadis 069

Anas ibn Malik ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda; Doa di antara azan dan iqamat tidak akan ditolak yakni akan diterima. Para sahabat r.hum bertanya; Ya Rasulullah! Apakah yang akan kami minta? Baginda saw menjawab; Mintalah A'fiah(keselamatan) di dunia dan di akhirat. (HR Tarmizi)

Hadis 070

Dari Jabir ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda; Apabila iqamah untuk sembahyang dilaungkan, maka satu pintu di langit akan dibuka dan doa seseorang itu dimakbulkan. (HR Musnad Ahmad)

Hadis 071

Dari Abu Hurairah ra berkata: Barangsiapa berwuduk dengan sempurna kemudian menuju ke masjid semata-mata untuk bersembahyang, selagi dia kekal dengan niatnya dia akan terus mendapat pahala sembahyang, dituliskan baginya langkah yang pertama dengan kebaikan dan langkah yang kedua digugurkan satu dosanya. Janganlah kamu berlari-lari apabila kamu mendengar iqamah. Lebih jauh rumah kamu daripada masjid lebih banyak kamu mendapat ganjaran. Anak-anak murid Abu Hurairah ra bertanya: Kenapa mendapat ganjaran yang banyak(daripada rumah yang jauh) wahai Abu Hurairah? Beliau menjawab; Disebabkan banyaknya langkah-langkah kamu. (HR Imam Malik)

Hadis 072

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda; Apabila berwudhu' salah seorang daripada kamu di rumahnya, kemudian menuju ke masjid, dia akan terus mendapat pahala sembahyang. Kemudian baginda Rasulullah saw menyilangkan anak-anak jarinya di antara satu sama lain dan bersabda; Jangan kamu berbuat seperti ini. (Mustadrak Hakim)

Hadis 073

Dari Said bin Musayyib Rahimahullah daripada seeorang sahabat lelaki dari Ansar menceritakan, aku mendengar Baginda Rasulullah saw bersabda; Apabila berwudhu' salah seorang daripada kamu dengan sebaik-baik wudhu', kemudian keluar untuk bersembahyang, akan dituliskan baginya dari langkah sebelah kanan dengan kebaikan dan meletakkan langkah sebelah kiri dengan digugurkan baginya satu dosa. (Terpulanglah pada kamu)Samada memendekkan langkah-langkahnya atau memanjangkannya. Sekiranya orang ini sampai di masjid dan bersembahyang berjemaah bersama-sama maka dia akan diampuniNya. Sekiranya dia mendapati sembahyang telah bermula dan dia menyempurnakan sembahyang pada rakaat yang selebihnya begitu juga dia akan diampuniNya. Dan jika dia datang ke Masjid dan di dapati sembahyang telah selesai lalu dia menyempurnakan sembahyangnya sendiri dia juga akan diampuniNya. (HR Abu Daud)

Hadis 074

Dari Abu Umamah ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Barangsiapa keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk bersembahyang fardhu, ganjarannya adalah seolah-olah dia memakai ihram untuk mengerjakan haji dan apabila dia bersusah payah semata-mata untuk mengerjakan sembahyang Dhuha, ganjarannya ialah seumpama dia mengerjakan umrah. Begitulah satu sembahyang dari sembahyang yang lain dilaksanakan tanpa melakukan perkara yang sia-sia, maka akan dituliskan baginya sebagai amal yang paling tinggi. (HR Abu Daud)

Hadis 075

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Tidak berwudhu' salah seorang daripada kamu dengan wudhu' yang baik, lagi mancapai ke tahap wudhu' yang sempurna, kemudian pergi ke masjid semata-mata untuk bersembahyang, kecuali Allah swt amat gembira kepadanya sebagaimana gembiranya salah seorang daripada ahli keluarga yang terpisah lama tiba-tiba bertemu kembali. (HR Ibn Khuzaimah)

Hadis 076

Dari Salman ra meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda; Barangsiapa berwudhu' di rumahnya dengan sebaik-baik wudhu' kemudian pergi ke masjid, dia adalah menjadi tetamu Allah swt(Allah swt sebagai tuan rumah) dan adalah menjadi tanggungjawab tuan rumah untuk memuliakan tetamunya. (HR Tabrani)

Hadis 077

Dari Jabir ra menceritakan bahawa di sekeliling Masjid Nabawi terdapat beberapa bidang tanah yang masih kosong. Satu kabilah dari Banu Salamah(yang mana rumahnya agak berjauhan daripada masjid) berkeinginan untuk berpindah di tempat yang hampir dengan masjid. Berita ini diketahui oleh Baginda Rasulullah saw lantas baginda bertanya; Aku mendengar bahawa kamu ingin berpindah di tempat yang berhampiran dengan masjid? Mereka semua menjawab: Benar Ya Rasulullah! Inilah niat kami. Baginda Rasulullah saw bersabda; Wahai Banu Salamah, tinggallah kamu di situ! Semua langkah-langkah kamu(untuk datang ke masjid) akan ditulis. Tinggallah kamu di situ! Semua langkah-langkah kamu(untuk datang ke masjid) akan ditulis. (HR Muslim)

Hadis 078

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Apabila salah seorang daripada kamu keluar dari rumah dan menuju ke masjidku, setiap langkah akan dituliskan baginya kebaikan dan setiap langkah kedua akan dihapuskan baginya kejahatan sehinggalah dia kembali kerumahnya. (HR Ibn Hiban)

Hadis 079

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Setiap manusia, setiap hari apabila terbitnya matahari bertanggung-jawab untuk bersedekah terhadap setiap sendi pada jasadnya(sebagai tanda kesyukuran di atas kesejahteraannya). Berlaku adil terhadap dua orang di antara kamu adalah sedekah. Memberi pertolongan seseorang di kenderaanmu samada memberi tumpangan, mengangkat barang-barangnya atau menolongnya juga sedekah. Berkata dengan perkataan yang baik juga sedekah. Setiap langkah yang menuju ke tempat sembahyang juga sedekah dan membuang sesuatu yang menyakiti di tengah jalan juga adalah sedekah. (HR Muslim)

Hadis 080

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Sesungguhnya pada hari Kiamat Allah swt akan memberi cahaya(di setiap penjuru) kepada orang yang pergi ke masjid-masjid pada waktu malam yang gelap dengan cahaya yang bergemerlapan. (HR Tabrani)