Muntahkab Ahadis - Bab Solat

Hadis 141

Dari Umar Ibn Al-Khattab ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Empat rakaat selepas Zawal dan sebelum Zohor adalah menyamai empat rakaat sembahyang Tahajjud. Baginda saw bersabda lagi; Tiada sesuatu pada saat ini kecuali semua bertasbih kepada Allah swt. Kemudian beliau membaca sepotong ayat yang bermaksud; Betapa bayang-bayang mereka condong ke kanan dan ke kiri dengan tawadhu'(ketika matahari tegak) bersujud kepada Allah dengan tunduk ke bawah (HR Tarmizi)

Hadis 142

Dari lbnu Umar ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Allah swt merahmati mereka yang bersembahyang empat rakaat sebelum Asar. (HR Abu Daud)

Hadis 143

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Barangsiapa bangun(bersembahyang pada malam) di bulan Ramadhan dengan penuh yakin dengan janji Allah swt dan mengharapkan ganjaran yang akan diperolehi akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (HR Bukhari)

Hadis 144

Dari Abdul Rahman ra meriwayatkan bahawa satu ketika Rasulullah saw bersabda mengenai bulan Ramadhan; Inilah bulan yang mana Allah memfardhukan puasa ke atas kamu dan mensunatkan tarawih pada malamnya. Barangsiapa berpuasa pada siangnya dan berdiri sembahyang pada malamnya dengan penuh yakin dengan janji Allah swt dan mengharapkan ganjaran yang akan diberikan, akan keluar dosa-dosanya sebagaimana anak yang baru dilahirkan oleh ibunya. (HR lbnu Majah)

Hadis 145

Dari Abu Fatimah Al-Azdiyi atau Al-Asadi ra menceritakan bahawa Nabi saw setelah bersabda kepadaku: Wahai Abu Fatimah! Sekiranya kamu ingin untuk bertemu denganku di hari Akhirat kelak, maka perbanyakkanlah sujud. (HR Ahmad)

Hadis 146

Dari Abu Hurairah ra berkata: Aku mendengar Baginda Rasulullah saw bersabda; Perkara yang pertama-tama kali akan dihisab pada hari Qiamat bagi seorang hamba mengenai amalannya ialah sembahyang. Sekiranya sembahyangnya baik(diterima) maka sesungguhnya telah berjaya dan selamatlah dia. Tetapi sekiranya sembahyangnya rosak, maka gagallah dan binasalah dia. Sekiranya terdapat kekurangan daripada amalan-amalan yang fardhu maka Allah swt akan berfirman; Lihatlah hambaKu ini, adakah dia melakukan amalan-amalan yang sunat? Sekiranya terdapat amalan-amalan sunatnya maka Allah swt akan menampung kekurangan amalan fardhu dengan amalan sunatnya. Begitulah seterusnya bagi amalan-amalan fardhu yang lain. Kekurangan puasa fardhu akan ditampung dengan puasa sunat dan zakat fardhu akan ditampung dengan sedekah-sedekah sunat. (HR Tirmizi)

Hadis 147

Dari Abu Umamah ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Sesungguhnya sahabatku yang palingku cemburui ialah seorang mukmin yang ringan bebanannya yakni tiada tanggungan yang banyak dunia dan keluarganya, memperolehi bahagian yang besar dalam sembahyang yakni banyak mendirikan sembahyang sunat, beribadat dengan baik terhadap Tuhannya, sentiasa mentaati Allah(sebagaimana secara zahir) walaupun dalam keadaan bersunyi. Seorang yang bergaul dengan orang ramai, tetapi tidak menuding jari kepadanya yakni tidak menunjukkan kemasyhurannya, mencukupi dengan rezeki yang diperolehinya dan bersabar dengan apa yang ada. Kemudian Rasulullah saw memetik jarinya(sebagaimana orang memberi isyarat sesuatu kerja yang cepat untuk dilakukan). Kemudian Baginda saw bersabda; Orang itu mudah kematiannya, amat kurang orang yang meratapinya dan sedikit harta peninggalannya. (HR Tarmizi)

Hadis 148

Dari Abdullah ibn Salman rahimahullah meriwayatkan bahawa seorang sahabat ra meriwayatkan kepada saya ketika kami menang peperangan Khaibar, maka orang-orang mengambil bahagian harta ghanimah(harta rampasan perang) yang terdiri dari orang-orang tawanan dan bermacam-macam harta dan mulai membeli dan menjual(setiap orang membeli apa yang dia perlukan dan menjual apa yang lebih padanya). Sementara itu seorang sahabat datang kepada Rasulullah saw dan berkata; Wahai Rasulullah! Saya telah memperolehi keuntungan yang banyak pada hari ini daripada orang lain dalam lembah ini. Rasulullah saw bertanya kepadanya; Berapa keuntungan yang kamu perolehi? Sahabat menjawab; Saya menjual dan membeli dan mendapat keuntungan tiga ratus uqiyah. Rasulullah saw bersabda; Mahukah aku memberitahu kamu sesuatu yang lebih baik daripada itu? Sahabat itu berkata; Apa itu ya Rasulullah? Rasulullah menjelaskan: Dua rakaat sesudah sembahyang fardhu. (HR Abu Daud)

Keterangan:
Satu uqiyah terdiri dari empat puluh dirham dan satu dirham adalah sama dengan tiga gram perak.

Hadis 149

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda; Apabila tidur salah seorang daripada kamu, syaitan akan mengikat dengan tiga simpulan di atas kepalamu. Setiap simpulan dihembus; Malam masih panjang lagi, tidurlah kamu. Sekiranya manusia bangun menyebut nama Allah, simpulan itu akan terbuka, kemudian jika dia berwudhu', simpulan kedua pula akan terbuka. Kemudian jika dia bersembahyang tahajjud, maka kesemua simpulan akan terbuka. Maka berpagi-pagi dia dalam keadaan cergas, gembira dan banyak kebaikan yang diperolehinya. Dan jika sekiranya dia tidak bangun tahajjud, dia akan lesu, timbul sifat malas dan rugi daripada segala kebaikan. (HR Abu Daud)

Hadis 150

Dari Uqbah bin Amir menceritakan aku mendengar Baginda Rasulullah saw bersabda; Dua orang lelaki dari umatku telah bangun di waktu malam dalam keadaan hati yang berat keduanya berwudhu' yang mana syaitan telah mengikatnya dengan beberapa simpulan. Apabila dia berwudhu' dengan membasuh tangannya satu ikatan telah terbuka. Apabila dia membasuh mukanya satu lagi ikatan telah terbuka. Apabila dia menyapu kepalanya satu ikatan lagi terbuka dan apabila dia membasuh kedua kakinya satu lagi simpulan yang mengikatnya terbuka. Kemudian Allah swt berfirman kepada para malaikatnya; Lihatlah kepada hambaKu ini, betapa dia bersusah-payah(keranaKu). Apa sahaja yang diminta oleh hambaKu ini dia akan memperolehinya. (HR Ahmad)

Hadis 151

Dari Ubadah bin Samit ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Barangsiapa bangun tengah malam kemudian dia membaca ayat ini:

Kemudian dia membaca doa ini:

yang bermaksud: Wahai Allah! Ampunilah dosa-dosaku. Atau doa-doa yang lain nescaya akan diterima doanya. Dan barangsiapa yang berwudhu' kemudian bersembahyang nescaya sembahyangnya akan diterima. (HR Bukhari)

Hadis 152

Dari Ibn Abbas ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw apabila bangun untuk bersembahyang tahajjud beliau akan membaca doa ini:

Ertinya:
Wahai Allah! Segala pujian bagi Engkau, milik Engkau kerajaan langit dan bumi, kepada Engkau segala pujian. Engkau adalah cahaya langit dan bumi, kepada Engkau segala pujian. Engkau Maha Benar dan janjiMu adalah benar dan pertemuan denganMu adalah benar, firmanMu adalah benar, syurga adalah benar, neraka adalah benar, Nabi-nabi adalah benar, (kerasulan)Muhammad adalah benar, dan hari Qiamat adalah benar. Ya Allah Tuhan kami! Kepada Engkau kami berserah diri dan kepada Engkau kami beriman dan kepada Engkau kami bertawakal dan kepada Engkau kami kembali(bertaubat), dengan pertolongan Engkau kami mengadu dan kepada Engkau kami memutuskan hukum(dengan orang-orang kafir). Maka ampunilah dosa-dosa kami yang telah lalu mahupun yang akan datang, yang kami lakukan dengan bersembunyi mahu pun yang kami lakukan dengan berterang-terangan. Engkaulah yang memajukan seseorang dengan perbuatan yang baik dan Engkaulah yang dapat menangguhkan. Tiada yang layak disembah melainkan Engkau. Tiada kekuatan untuk menolak kejahatan dan tiada daya upaya untuk melakukan yang baik kecuali izin daripada Engkau. (HR Bukhari)

Hadis 153

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda; Sebaik-baik bulan untuk berpuasa sesudah bulan Ramadhan adalah bulan Muharram dan sebaik-baik sembahyang sesudah sembahyang fardhu adalah sembahyang malam(tahajjud). (HR Muslim)

Hadis 154

Dari lyaas ibn Muawiyah Al Muzani rahimahullah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda; Lakukanlah sembahyang tahajjud walaupun sesingkat waktu memerah susu kambing. Dan tiada lagi sembahyang setelah sembahyang Isyak selain tergolong sembahyang malam.

Keterangan:
Tahajjud dikerjakan setelah sembahyang Isyak dengan syarat sudah tidur dan belum masuk Subuh. (HR Tabrani dan Majma uz Zawaaid)

Hadis 155

Dari Abdullah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda; Kelebihan sembahyang malam dengan sembahyang yang dikerjakan di siang hari, adalah seperti keutamaan sedekah secara sembunyi dengan sedekah terang-terangan. (HR Tabrani dan Majma uz Zawaaid)

Hadis 156

Hazrat Abu Umamah al Bahili ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda; Kamu mesti melakukan solat tahajjud kerana ia adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu dan ia mendekatkan(kedudukan) kamu di sisi Tuhan kamu serta menghapuskan kejahatan dan mencegah daripada melakukan dosa-dosa. (HR Mustadrak Al Hakim)

Hadis 157

Dari Abu Darda ra meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda; Tiga jenis orang yang amat dicintai Allah swt dan bergembira apabila melihatnya. Pertama ialah seorang yang berjihad di jalan Allah semata-mata kerana Allah swt dan terus berperang bersendirian walaupun sahabat-sahabatnya meninggalkan medan pertempuran. Kemudian dia syahid atau Allah swt memberi pertolongan kepadanya dan memenangkannya. Kemudian Allah swt berfirman kepada para malaikat; Lihat hambaKu ini bagaimana dia berjihad teguh berperang di medan semata-mata keranaKu. Kedua ialah seorang yang mempunyai seorang isteri yang cantik dan tilam yang empuk(namun dia meninggalkannya) dan bangun untuk bersembahyang tahajjud. Kemudian Allah swt berfirman: Lihat hambaKu ini! Dia meninggalkan keinginan hawa nafsunya, bangun mengingatiKu, kalau dia mahu dia boleh terus tidur. Ketiga ialah seorang yang dalam perjalanan, bersamanya satu kabilah, ketika tengah malam mereka kepenatan dan tidur namun mereka bangun di akhir daripada malam dalam keadaan susah atau senang. (HR Tabrani)

Hadis 158

Dari Abu Malik Al-Asha'ri ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda; Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah bilik yang mana tembus pandangan dari dalam boleh dilihat apa yang ada di luar dan dari luar dapat dilihat apa yang ada di dalam. Allah swt menyediakannya khas untuk mereka yang memberi makan kepada fakir miskin, menghamburkan salam dan bersembahyang malam di mana manusia sedang nyenyak tidur. (HR Tabrani)

Hadis 159

Dari Sahal bin Saad ra meriwayatkan telah datang Malaikat Jibrail as kepada Baginda Rasulullah saw lantas berkata: Wahai Muhammad! Selama mana kamu hidup, suatu hari kamu akan menemui maut. Beramallah apa yang kamu amalkan, kamu akan menerima ganjarannya. Cintailah sesiapapun, suatu hari kamu akan berpisah dengannya. Ketahuilah bahawa kemuliaan bagi seorang mukmin itu ialah di dalam tahajjud malam. Dan kemuliaan bagi seorang mukmin ialah berlapang dada diantara manusia. (HR Tabrani)

Hadis 160

Dari Abdullah ibn Amru ibn Ash ra meriwayatkan bahawa satu ketika Rasulullah saw bersabda kepadaku: Wahai Abdullah! Janganlah kamu jadi seperti si fulan yang mana selalu bangun malam kemudian meninggalkannya. (HR Bukhari)

Keterangan:
Meninggalkan sesuatu amalan yang telah menjadi adat baginya tanpa satu uzur adalah satu perkara yang mendukacitakan.