Muntahkab Ahadis - Bab Zikir

 

Hadis 081

Dan Muaz ibn Jabal ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Penghuni syurga (selepas memasuki syurga)tidak akan menyesal kecuali pada satu masa yang mereka lalui dahulu tidak berzikir kepada Allah. (HR Tabrani)

Hadis 082

Dari Sahal ibn Hunaif ra meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda: Tunaikanlah hak-hak majlis (dan salah satu daripada hak majlis ialah)berzikir kepada Allah sebanyak-banyaknya. (HR Tabrani)

Hadis 083

Hazrat Uqbah Bin Amir ra meriwayatkan Rasulullah saw bersabda: "Tiadalah seorang pemandu yang bersunyi diri lalu berzikir kepada Allah dan mengingatiNya melainkan para malaikat akan menemaninya, dan tiadalah dia bersyair atau seumpamanya (seperti mendengar nyanyian atau muzik atau melakukan perkara yang sia-sia)melainkan syaitan akan menemaninya". (HR Tabrani)

Hadis 084

Dari Abu Musa ra meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda: Perumpamaan bagi orang yang mengingati Allah dan orang yang tidak mengingati Allah adalah seumpama orang yang hidup dan orang yang mati. Dalam hadith yang lain diriwayatkan bahawa: Perumpamaan rumah yang disebut nama Allah di dalamnya dan rumah yang tidak disebut nama Allah di dalamnya adalah seumpama orang yang hidup dan yang mati. (Hadith Bukhari dan Muslim)

Hadis 085

Dari Muaz ra meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada baginda Rasulullah saw; Apakah jihad yang paling tinggi ganjarannya? Baginda bersabda: Jihad yang mana disertai dengan zikrullah sebanyak-banyaknya. Ditanya lagi: Apakah puasa yang paling tinggi ganjarannya? Baginda bersabda: Puasa yang disertai zikrullah sebanyak-banyaknya. Begitulah seterusnya nabi saw ditanya mengenai sembahyang, zakat, haji dan sedekah yang paling tinggi ganjarannya, Nabi saw bersabda: Mereka yang melakukan amal-amal tersebut dengan berzikir sebanyak-banyaknya kepada Allah. Abu Bakar ra berkata kepada Umar Wahai Abu Hafsah! Orang yang berzikir telah membawa segala kebaikan: Maka bersabda Nabi : Benar kata kamu! (HR Musnad Ahmad)

Keterangan:
Abu Hafsah ialah nama panggilan bagi Umar ra kerana Hafsah r.ha ialah anak Umar ra dan isteri baginda

Hadis 086

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Mufarridhun telah mendahului kita! Para sahabat r.hum bertanya: Siapakah Mufarridhun? Baginda saw menjawab: Mereka ialah orang yang asyik dalam berzikir kepada Allah, zikir telah meringankan bebanannya, kerana itu pada hari kiamat nanti dia akan datang tanpa bebanan. (HR Tirmizi)

Hadis 087

Dari Abu Musa Al-Ash'ari ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Kalaulah seorang berharta dan membahagi-bahagikan hartanya dan seorang lagi sibuk berzikir kepada Allah, orang yang berzikrullah adalah lebih afdhal. (HR Tabrani, Majma az Zawaid)

Hadis 088

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Barangsiapa banyak berzikir kepada Allah, sesungguhnya dia akan terhindar dari sifat munafik.(HR Tabrani, Jami' Saghir)

Hadis 089

Dari Abu Said Al-Kudri ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Ramai di antara orang yang berada di tempat tidur yang empuk sibuk berzikir kepada Allah dengan berkat zikirnya dimasukkan kedalam syurga yang tinggi darjatnya. (HR Abu Ya'la, Majma az Zawaaid)

Hadis 090

Dari Jabir ibn Samurah ra menceritakan bahawa Nabi saw apabila selesai sembahyang Fardhu Subuh beliau akan duduk bersila di tempatnya sehinggalah matahari benar-benar terbit. (HR Abu Daud)

Hadis 091

Dari Anas ibn Malik ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Duduk berzikir dengan satu jemaah selepas sembahyang subuh sehingga terbit matahari lebih aku sukai daripada memerdekakan empat orang hamba dari Bani Ismail begitu juga selepas sembahyang asar, aku lebih suka duduk berzikir dengan satu jemaah sehingga terbenamnya matahari daripada aku memerdekakan empat orang hamba dari Bani Ismail as. (HR Abu Daud)

Keterangan:
Hamba dari Bani Ismail dinyatakan di sini kerana kedudukan yang mulia dari kalangan Bani Ismail dan membebaskannya sebagai satu kemuliaan dan harganya juga paling tinggi.

Hadis 092

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya Allah mempunyai satu kumpulan dari malaikat yang sentiasa berkeliaran di jalan-jalan bagi mencari satu jemaah yang berzikir kepada Allah. Apabila mereka bertemu dengan jemaah tersebut mereka akan berpanggil-panggilan: Mari! Mari! Di sinilah jemaah yang kamu hajatkan. Kemudian malaikat akan berkumpul dan mengerumuni dengan membukakan sayap-sayap mereka sehinggalah ke langit bumi. Allah swt bertanya kepada malaikat walau pun Dia mengetahui: Apakah yang hamba-hambaKu lakukan? Malaikat menjawab: Mereka mensucikanMu, membesarkan Mu dan memuji-mujiMu. Allah swt berfirman: Apakah mereka melihatKu? Malaikat menjawab: Tidak! Mereka tidak pernah melihatMu. Allah swt bertanya: Apakah yang akan berlaku sekiranya mereka melihat Ku? Malaikat menjawab: Kalau mereka melihatMu, sudah pasfi mereka akan lebih beribadat kepadaMu, lebih memuji-mujiMu, dan lebih bertasbih kepada Mu. Allah swt bertanya: Apakah yang mereka minta? Malaikat: Mereka memohon kepadaMu syurga. Allah swt berfirman: Apakah mereka pernah melihat syurga? Malaikat menjawab: Tidak! Mereka belum pernah melihat syurga. Apakah yang akan berlaku sekiranya mereka melihat syurga? Malaikat menjawab: Mereka akan bertambah keinginannya, bertambah berusaha untuk mendapatkannya. Allah swt bertanya: Daripada apakah mereka memohon perlindungan? Malaikat menjawab: Mereka memohon perlindungan daripada api neraka. Allah swt bertanya: Apakah mereka pernah melihat neraka? Malaikat menjawab: Tidak! Mereka tidak pernah melihat neraka. Allah swt bertanya: Apakah yang akan berlaku jika mereka melihat neraka? Malaikat menjawab: Kalau mereka melihat neraka, mereka akan bertambah takut dan lebih menjauhkan diri daripadanya. Allah swt berfirman: Bersaksilah kamu sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka. Sebahagian dari Malaikat berkata: Wahai Allah! Si fulan yang ada dalam majlis itu bukanlah datang untuk berzikir tetapi datang untuk hajatnya yang lain. Allah swt menjawab: Mereka yang duduk dalam majlis itu tidak dikecewakan dari (rahmat dan nikmatnya) majlis itu. (HR Bukhari)

Hadis 093

Hazrat Anas ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda, "Sesungguhnya Allah swt mempunyai satu rombongan malaikat yang mencari-cari halakah-halakah zikir. Apabila mereka menemui majlis yang sedemikian, mereka akan mengerumuninya dan menugaskan serombongan malaikat untuk ke langit menghadap Rabbul Izzat Tabaraka Wataala", lalu mereka berkata, "Wahai Rabb, kami datang dari hamba-hambaMu yang memuji KebesaranMu dengan rahmatMU, membaca Al Quran, berselawat ke atas NabiMu, mengharapkan kebaikan didunia dan di akhirat." Rabb Tabaraka Wataala berfirman,"Curahkan mereka rahmatKu." Para malaikat berkata. "Di antara mereka ada seorang hambaMu yang berdosa. " Allah Tabaaraka wa Tasala berfirman: "Liputilah mereka kesemua dengan rahmatKu, kerana ini adalah satu majlis yang penuh rahmat dan mereka yang menyertai majlis ini akan mendapat rahmat." (HR Bazzar dan Majmauz Zawaaid)

Hadis 094

Dari Anas ibn Malik ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Tidaklah orang yang berkumpul untuk berzikir kepada Allah Azza wa Jalla dengan tiada keinginan lain daripada mencari keredhaanNya, kecuali bahawa (pada akhir majlis itu)seorang malaikat mengumumkan dari langit(dengan perintah Allah): Bangunlah orang-orang yang patut mendapat keampunan, kerana sesungguhnya dosa-dosamu telah diganti dengan kebaikan. (HR Musnad Ahmad, Tabrani, Abu Yala, Bazzar dan Majma az Zawaaid)

Hadis 095

Dari Abu Hurairah ra dan Abu Said Al-Khudri ra keduanya bersaksi bahawa Nabi saw bersabda: Tidaklah satu kelompok yang duduk mengingati Allah swt kecuali para malaikat menaungi mereka dengan sayap-sayapnya, dan rahmat Allah swt meliputi mereka, sakinah turun ke atas mereka dan Allah swt menyebut mereka dalam majlis para malaikat. (HR Muslim)

Hadis 096

Dari Abu Darda ra meriwayatkan bahawa Rasuluilah saw bersabda: Allah swt akan membangkitkan satu kaum pada hari kiamat, yang muka mereka bersinar dengan terang dan mereka akan di dudukkan di atas mimbar-mimbar mutiara. Orang ramai akan irihati dengan mereka, mereka bukanlah dari kalangan Nabi atau para syuhada'. Seorang badwi yang duduk(iftirasy) di atas lutut berkata; Wahai Rasulullah! Beritahulah tanda-tanda mereka kepada kami supaya kami dapat mengenal mereka. Baginda menjelaskan: Mereka adalah berasal dari keluarga dan kaum yang berlainan dan tempat yang berbeza, dan mereka berkumpul di suatu tempat semata-mata kerana kasih kepada Allah, dan sibuk dengan zikrullah. (HR Tabrani dan Majma az Zawaaid)

Hadis 097

Dari Amr ibn Abasah ra berkata bahawa; Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: Pada bahagian sebelah kanan Ar-Rahman dan kedua tanganNya di sebelah kanan. Akan ada manusia yang bukan para Nabi, bukan syuhada'. Cahaya mereka akan menarik perhatian orang ramai kepada mereka. Bahkan para Nabi dan syuhada' akan irihati kepada mereka kerana darjat yang tinggi dan hampirnya dengan Allah Azza wa Jalla. Siapakah mereka ya Rasulullah? Baginda saw menjawab: Mereka ini adalah orang-orang dari keluarga, bangsa yang berlainan yang meninggalkan rumah dan keluarga mereka untuk berkumpul pada suatu tempat kerana mengingati Allah. Dalam percakapan, mereka menggunakan sebaik-baik perkataan, seperti orang makan kurma memilih yang terbaik untuk dimakan dari timbunan kurma. (HR Tabrani dan Majma az Zawaaid)

Keterangan:
Dalam hadith di atas, berada di sebelah kanan Ar-Rahman memberi maksud satu kedudukan yang khas bagi satu kumpulan manusia. Kedua-dua belah tangan Ar-Rahman di sebelah kanan bermaksud sebagaimana sebelah kanan menggambarkan sesuatu yang baik, terpuji dan mulia begitulah dengan Allah satu zat yang penuh dengan kebaikan. Para Ambia dan syuhada' amat mencemburui mereka kerana amalannya namun kedudukan ambia' dan syuhada' memanglah lebih daripada itu lagi. (Majma' Baharal Anwar)

Hadis 098

Dari Abdul Rahman ibn Sahl ibn Hunaif ra menceritakan bahawa Rasulullah saw sedang berada pada salah satu rumahnya ketika ayat ini diturunkan kepadanya:

Maksudnya: Bergabunglah kamu dengan orang-orang yang menyeru Rabb mereka di waktu pagi dan petang. Kerana ayat ini Rasulullah saw keluar dan mencari orang-orang ini, dan Baginda saw mendapati sekumpulan orang sedang berzikir kepada Allah swt. Di antara mereka ada yang rambutnya kusut, kulitnya kering dan hanya memakai sehelai pakaian (untuk menutup aurat). Baginda saw duduk bersama mereka dan bersabda: Alhamdulillah, Dia membangkitkan orang yang sedemikian di kalangan umatku dan aku diperintahkan untuk duduk bersama mereka. (HR Tafsir lbnu Kasir)

Hadis 099

Dari Abdullah ibn Amr ra berkata; Aku bertanya; Wahai Rasulullah! Apakah ganjaran majlis zikrullah. Baginda saw menjawab: Ganjaran bagi majlis zikrullah adalah syurga, adalah syurga. (HR Musnad Ahmad, Tabrani, Majma uz Zawaaid)

Hadis 100

Dari Abu Said Al-Khudri ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Allah swt akan berfirman pada hari kiamat di kalangan orang-orang yang berkumpul, nanti akan mengetahui siapakah yang paling mulia. Ditanyakan; Wahai Rasulullah, siapakah orang-orang yang paling mulia itu? Baginda swt menjawab: Mereka yang sentiasa berkumpul di masjid-masjid untuk berzikir kepada Allah. (HR Musnad Ahmad, Abu Yala, Majma uz Zawaaid)