Muntahkab Ahadis - Bab Zikir

 

Hadis 181

Hazrat Anas ra meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda, "Setiap anak Adam as melakukan dosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah dia bertaubat." (H.R. Tirmizi)

Hadis 182

Hazrat Jabir Bin Abdullah ra meriwayatkan bahawa, Aku dengar Rasulullah saw bersabda, "Sesungguhnya sebahagian daripada tanda-tanda orang yang berbahagia adalah umurnya panjang dan Allah swt mengurniakan sifat inabah(tawajjuh kepada Allah ta'ala)". (H.R. Hakim)

Hadis 183

Dari Aghar ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Wahai manusia bertaubatlah kamu kepada Allah! Sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah setiap hari sebanyak seratus kali. (HR Muslim)

Hadis 184

Hazrat Abdullah Bin Zubair(lbnu Zubair) ra berkata, "Wahai manusia! Sesungguhnya Nabi saw bersabda, "Sekiranya anak Adam diberikan satu lembah yang penuh dengan emas, pastilah dia ingin untuk memperoleh yang kedua, dan sekiranya dia sudah memiliki yang kedua, dia ingin lagi untuk memperolehi yang ketiga. Dan perut anak Adam sentiasa tidak akan berasa cukup kecuali dipenuhi dengan tanah. Namun satu rahmat Allah swt kepada seorang hambaNya di mana dia beralihkan cintanya daripada harta benda dunia kepada mencintai Allah swt." (H.R. Bukhari)

Hadis 185

Dari Zaid ra meriwayatkan bahawa, beliau mendengar Nabi saw bersabda: Barangsiapa beristighfar kepada Allah seperti ini:

Ertinya: Aku memohon keampunan kepada Allah yang tiada Tuhan kecuali Dia. Dialah yang hidup, yang kekal setama-lamanya dan kepadaNya aku bertaubat.

Maka semua dosa-dosanya akan diampunkan walaupun dia 1ari dari medan peperangan. Dalam satu riwayat yang lain kalimat ini dibaca sebanyak tiga kali. (HR Abu Daud, Mustadrak Hakim)

Hadis 186

Dari Jabir bin Abdullah ra menceritakan bahawa suatu hari telah datang seorang lelaki kepada Nabi saw dan berkata: Ahhh! Aku berdosa! Aku berdosa! Aku berdosa! Sebanyak dua atau tiga kali. Lantas Rasulullah saw bersabda: Ucapkanlah kalimat ini:

Ertinya: Wahai Allah sesungguhnya pengampunanMu lebih luas dari dosa-dosaku dan aku lebih mengharapkan rahmatMu daripada amalan-amalanku."

Lelaki itu mengucapkan kalimat ini. Kemudian Baginda saw bersabda: Ucapkan lagi, lalu lelaki itu mengucapkan kalimat itu lagi. Nabi saw bersabda: Ucapkan lagi! Kemudian lelaki itu mengucapkan lagi kalimat itu sebanyak tiga kali. Kemudian Baginda saw bersabda: Pergilah! Allah sudah mengampuni dosa-dosa kamu. (HR Mustadrak Hakim)

Hadis 187

Dari Salma r.ha meriwayatkan bahawa satu ketika aku bekata kepada Nabi saw: Ya Rasulullah! Khabarkanlah kepadaku beberapa kalimat tetapi janganlah panjang-panjang. Baginda saw bersabda: Katakanlah Allahu Akbar sepuluh kali. Allah swt berfirman: Ini adalah untukKu. Kemudian katakanlah "Subhanallah" sepuluh kali. Allah swt berfirman: Ini untukKu. Katakanlah " Allahummagh-Firli", Allah berfirman: Aku telah ampuni kamu. Katakanlah sebanyak sepuluh kali. Allah swt berfirman: Aku telah ampuni kamu. (HR Tabrani)

Hadis 188

Dari Saad bin Abi Waqqas ra meriwayatkan satu ketika telah datang seorang badwi kepada Nabi saw dan berkata: Ya Rasulullah, ajarkanlah kepadaku satu kalimat yang mana dapatku baca setiap waktu. Baginda saw bersabda: Katakanlah:

Ertinya: Tiada Tuhan melainkan Allah yang satu. Tiada sekutu bagiNya. Allah Maha Besar dan sebanyak-banyak Pujian bagi Allah yang Maha Suci Allah Tuhan sekalian alam. Tiada daya dan kekuatan untuk melakukan kebaikan kecuali dengan izin Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Kemudian badwi itu berkata: Ya Rasulullah! Bukankah itu semua untuk mengingati Rab ku? Maka apakah pula untukku? Maka nabi bersabda: (Untukmu)katakanlah:

Ertinya: Wahai Allah, ampunilah daku. Kasihanilah daku. Berilah petunjuk kepadaku dan berilah rezeki kepadaku.

Dalam satu riwayat yang lain ditambah dengan "Wa'afini. Dan berilah afiat(keselamatan) dunia dan akhirat. Dalam satu riwayat yang lain Baginda saw bersabda: Kalimat ini mencukupi bagi kamu untuk mendapatkan kebaikan di dunia dan diakhirat keseluruhannya. (HR Muslim)

Hadis 189

Dari Abdullah bin Amr ra berkata: Aku melihat Nabi saw mengira tasbihat yang dibacanya dengan jari-jari tangannya yang mulia. (HR Tirmizi)

Hadis 190

Dari Anas bin Malik ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Doa ialah asas lbadah. (HR Tirmizi)

Hadis 191

Dari Nukman bin Bashir ra berkata: Aku mendengar bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Doa adalah satu lbadah. (sebagai dolil)Baginda Rasulullah saw membacakan ayat:

Ertinya: Dan telah berfirman Tuhanmu, berdoalah kepadaKu sesungguhnya Aku akan menerima doamu. Sesungguhnya orang-orang yang takabur di kalangan hambaKu kelak akan masuk kedalam api neraka dalam keadaan hina. (HR Tirmizi)

Hadis 192

Dori Abdullah ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Mintalah kepada Allah swt akan kurniaan-kurniaanNya. Sesungguhnya Allah swt amat suka apabila diminta. Dan sebaik-baik ibadah ialah memohon kelapangan. (HR Tirmizi)

Keterangan:
Mengharapkan kelapangan bermakna mengharapkan doa yang diminta, seperti meminta rahmat, hidayat, dan kebaikan. Insyaallah doa-doa ini akan dikabulkan.

Hadis 193

Dari Thauban ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Tidak akan berubah sesuatu takdir kecuali dengan doa. Dan tidak akan bertambah umur kecuali dengan amal kebaikan. Dan (kadang-kadang)akan ditarik rezeki seseorang itu kerana dosa yang dilakukannya. (HR Mustadrak Hakim)

Keterangan: Hadith ini memberi maksud: Allah swt telah mentakdirkan bahawa seorang itu akan berdoa dan apa yang diminta, dia akan memperolehinya. Ini dinyatakan juga dalam hadis yang lain: "Memohon doa juga telah ditakdirkan oleh Allah". Sebagai contoh seorang yang telah ditakdirkan berumur 60 tahun, namun dia telah melakukan amal kebaikan seperti menunaikan haji yang mana kerananya umurnya telah ditambah 20 tahun lagi. Maka hiduplah orang ini selama 80 tahun di dalam dunia ini. (Mirqat)

Hadis 194

Dari Ubadah bin Samit ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Tiada seorang Islam di atas muka bumi ini yang tidak memutuskan tali Silatur Rahim berdoa kepada Allah swt melainkan diterima akan doanya. Memohon dihindarkan dari kesusahan dan kesempitan, akan diberinya ganjaran yang setimpal dengan doanya. Berkata seorang lelaki dari kami: Kalau begitu kami akan banyak berdoa!" Baginda saw bersabda: Begitu juga Allah akan banyak memberi. (HR Tirmizi)

Hadis 195

Dari Salman Al-Farsi ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya Allah swt mempunyai sifat malu dan memberi kepada orang yang tidak meminta dengan pemberian yang banyak. Apabila seseorang mengangkat tangannya di hadapan Allah swt memohon sesuatu, maka Allah swt amat malu untuk memulangkan kedua tangan tersebut dengan tangan kosong. (HR Tirmizi)

Hadis 196

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya Allah swt berfirman; Sesungguhnya Aku berada di dalam sangkaan hambaKu(Aku akan bermuamalah dengannya sebagaimana yang dia sangkakan terhadapKu). Dan Aku bersama dengannya ketika dia berdoa kepadaKu. (HR Muslim)

Hadis 197

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: Tiada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah swt selain daripada doa. (HR Tirmizi)

Hadis 198

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda: Barangsiapa mahu supaya doanya dikabulkan ketika dalam keadaan kesempitan atau kesusahan hendaklah dia banyak berdoa ketika dalam kesenangan. (HR Tirmizi)

Hadis 199

Dari Ali ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda: Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama dan nur bagi langit dan bumi. (HR Hakim)

Hadis 200

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda: Seorang hamba selagi dia tidak berdoa untuk melakukan dosa atau memutuskan silatur-rahim doanya akan diterima dengan syarat dia tidak ada sifat "gopoh"(bersegera). Ketika ditanya: Ya Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan sifat bersegera itu? Rasulullah saw menjawab: Mengenai doanya itu seorang berkata: "Aku telah berdoa dan berdoa lagi, tetapi aku tidak melihat doaku diterima. Lalu dia berputus asa dan meninggalkan doa. (HR Muslim)